May 20, 2024

Khairulnizam layak ke Sukan Olimpik Paris 2024


KUALA LUMPUR – Pelayar berpengalaman negara, Khairulnizam Mohd Afendy sah akan mengiringi atlet muda Nur Shazrin Mohd Latif ke Sukan Olimpik Paris 2024, juga merupakan penampilan keempat berturut-turut di temasya berprestij itu.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menerusi laman X memaklumkan atlet berusia 30 tahun itu menempah tiket ke temasya berprestij dunia itu selepas menduduki tempat ketiga dalam acara ILCA 7 lelaki Single-Handed Dinghy di kejohanan Last Chance Regatta di Hyeres, Perancis.

Khairulnizam merupakan atlet kesepuluh negara layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas Nur Shazrin,  tiga pelumba berbasikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dan Johnathan Wong (menembak).

Empat lagi atlet Bertrand Rhodict Lises (terjun), Ariani Nur Dania Mohd Zairi (memanah), Nur Aisyah Mohd Zubir (berbasikal lebuh raya) dan Mohamad Aniq Kasdan (angkat berat).

Pemenang pingat perak Sukan Asia 2018 dan 2014 itu membuat penampilan sulung pada edisi 2012 di London, diikuti 2016 di Rio de Janeiro, Brazil sebelum di Tokyo 2020.

Pada penampilannya di Olimpik Tokyo, Khairulnizam yang beraksi dalam acara laser menamatkan saingan di kedudukan ke-28 dari 35 peserta.

Aksinya di Rio menyaksikan beliau mengakhiri saingan di kedudukan ke-35 dari 46 peserta manakala pada Olimpik London 2012, beliau berada di tempat ke-47 daripada 49 peserta. – Bernama



Source link

OR

Scroll to Top