Tentera Mexico jatuhkan dron intip latihan Korea Selatan

Tentera Mexico jatuhkan dron intip latihan Korea Selatan


Skuad Teageuk Warriors menjalani latihan di Chivas Verde Valle berhampiran Guadalajara. Foto Agensi

SESI latihan tertutup skuad Korea Selatan di Piala Dunia 2026 terganggu apabila sebuah dron tidak dikenali dipercayai cuba mengintip sesi latihan pasukan itu di pusat latihan Chivas Verde Valle.

Insiden berlaku ketika pasukan itu menjalani sesi latihan di Guadalajara, Mexico pada Selasa menjelang perlawanan Kumpulan A menentang Mexico.

Menurut sumber pasukan, dron berkenaan dilancarkan dari kawasan perumahan berhampiran oleh dua individu sebelum dikesan memasuki ruang udara kem latihan.

Pegawai keselamatan Korea Selatan yang berada di lokasi mengesan kehadiran dron itu sebelum tentera Mexico yang mengawal kawasan berkenaan bertindak menggunakan sistem gangguan isyarat (jamming), sekali gus menyebabkan peranti itu terhempas.

Pasukan keselamatan bersama polis tempatan dan pihak tentera kemudian bergegas ke lokasi kejadian bagi merampas dron berkenaan, namun dua individu terbabit dilaporkan sempat melarikan diri bersama peranti itu.

Rakaman di lokasi turut menunjukkan suspek mengambil semula dron sebelum melarikan diri, menurut sumber.

Pegawai keselamatan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang ditugaskan bersama pasukan itu meminta siasatan segera dijalankan oleh pihak berkuasa Mexico, manakala Persatuan Bolasepak Korea (KFA) telah memaklumkan kepada FIFA serta meminta langkah pencegahan diambil.

Bagaimanapun, insiden itu tidak menyebabkan kebocoran maklumat taktikal apabila ia berlaku ketika sesi pemanasan badan sebelum latihan taktikal utama dijalankan.



Source link

OR

Scroll to Top