June 24, 2024

King Sing nafi dirinya terbuka bagi penggabungan PDP- PRS


KUALA LUMPUR – Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Tiong King menafikan laporan berita mendakwa beliau kononnya terbuka untuk penggabungan parti dengan Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Sebaliknya Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), kenyataan sebenarnya merujuk secara umum bahawa pihaknya terbuka dengan mana-mana parti menyertai PDP adalah untuk kesejahteraan negara khususnya Sarawak.

“Saya tidak buat kenyataan tentang parti PRS. Kenyataan saya adalah umum kepada mana-mana parti dan semua parti bebas mengadakan perbincangan mengenainya.

“Ketika saya disoal wartawan tentang komen ahli Parlimen Julau  tentang prospek penggabungan PDP-PRS secara umum juga. Itu sahaja, komen-komen saya umum kepada semua,” katanya hari ini.

Sambung King Sing, pintu PDP sentiasa terbuka dengan mengalu-alukan semua dengan fokus semua menjadi satu pasukan bagi menjaga kesejahteraan negeri Sarawak.

“Tidak ada faedah langsung andai ada yang cuba kusutkan isu atau mempolitikan perkara ini. Sekali lagi saya tegaskan, marilah kita berfikir dengan ke depan tentang betapa pentingnya untuk maju dan memajukan negeri kita sayang tanpa sebarang komplikasi,” tegasnya.

Pada 7 April lepas, Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng berharap agar PDP dan PRS akan bergabung memandangkan kedua-dua parti mempunyai hubungan sejarah dan ia akan mengukuhkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan perjuangan kaum Dayak.

King SIng berkata, sesiapa boleh memberi cadangan, namun ia terpulang kepada parti terbabit untuk membuat keputusan berkenaan cadangan dibuat Larry.

Pada 6 April, beliau mengumumkan Presiden PSB, Datuk Seri Wong Soon Koh dan dua pemimpin kanan parti itu yang baru dibubarkan, dilantik memegang jawatan tinggi dalam PDP.

King Sing berkata pelantikan Wong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan serta timbalannya, Dr Johnical Rayong Ngipa dan Setiausaha Agung PSB, Baru Bian sebagai Naib Presiden PDP dimuktamadkan dalam mesyuarat majlis tertinggi parti. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top