July 27, 2024

Sultan Nazrin berkenan sampaikan Anugerah Cemerlang Universiti Malaya

Sultan Nazrin berkenan sampaikan Anugerah Cemerlang Universiti Malaya


Petaling Jaya: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang juga Canselor Universiti Malaya berkenan menyampaikan anugerah kepada warga UM dan badan korporat pada majlis Anugerah Cemerlang Universiti Malaya (ACUM) 2023 di sini hari ini.

Keberangkatan tiba baginda pada 2.30 petang disambut Naib Canselor UM Prof Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman.

Baginda kemudian berkenan menyampaikan anugerah kepada penerima bagi 10 kategori iaitu Program Akademik Inovatif, Pusat Penyelidikan Cemerlang (Bidang Sains), Pusat Penyelidikan Cemerlang (Bidang Kemanusiaan dan Sains Sosial), Penyumbang Berimpak Tinggi dan Penyumbang Legasi Sepanjang Hayat.

Selain itu, bagi kategori Pensyarah Cemerlang (Bidang Sains), Pensyarah Cemerlang (Bidang Klinikal), Pensyarah Cemerlang (Bidang Bukan Sains), Staf Eksekutif Terbaik (Gred 41-54) dan Staf Operasi Terbaik (Gred 1-38).

Sementara itu, Noor Azuan dalam ucapannya berkata, majlis tersebut bertujuan mengiktiraf usaha dan pencapaian cemerlang warga UM yang telah menyumbang kepada kecemerlangan institusi berkenaan.

“Tanpa kesungguhan dan usaha gigih mereka, pencapaian serta kecemerlangan yang kita saksikan pada hari ini pastinya tidak akan tercapai.

“Anugerah Cemerlang Universiti Malaya pada tahun ini merupakan kali ke-12 semenjak ia diperkenalkan pada 2009 dan acara ini sentiasa dinantikan oleh warga UM pada setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 41 kategori anugerah telah dibuka untuk pencalonan dan permohonan manakala seramai 63 penerima anugerah telah dipilih sebagai penerima anugerah cemerlang itu.

Kategori anugerah tertinggi dengan ganjaran RM10,000 ialah Program Akademik Inovatif yang bertujuan mengiktiraf program yang menekankan reka bentuk kurikulum secara inovatif dan kreatif hingga berjaya melahirkan graduan berdaya tahan dan tersedia pada masa hadapan.

Kategori lain termasuk Pentaksiran Alternatif Inovatif, Pengajaran Cemerlang, Pentadbir Akademik Terbaik, Penyelidik Muda Cemerlang, Tokoh Penyelidik, Rakan Korporat dan Rakan Cemerlang.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top