Kinoshi mahu Gergasi Merah tajamkan gerakan penyudah

Kinoshi mahu Gergasi Merah tajamkan gerakan penyudah


Reaksi Jurulatih Selangor FC Kinoshi Katsuhito pada Liga Juara-Juara AFC 2 di Stadium MBPJ malam tadi. – Foto: Bernama

PENGENDALI baharu Selangor FC, Katsuhito Kinoshi tetap berpuas hati dengan persembahan anak buahnya biarpun tewas 1-2 kepada wakil Thailand, Muangthong United dalam aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) 2024/25 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya semalam.

Bagaimanapun, jurulatih dari Jepun itu meminta agar corak serangan agresif yang diterapkan kepada pemain Gergasi Merah, diikuti dengan gerakan penyudah yang lebih kemas di depan pintu gol lawan, diperkemas dalam perlawanan seterusnya.

“Kita sepatutnya telah menjaringkan gol kedua pada separuh masa pertama, tetapi sekurang-kurangnya kita telah menunjukkan kepada penyokong kita bahawa corak permainan kita adalah tidak pernah berputus asa dan kita bekerja keras untuk meraih mata. Pada perlawanan seterusnya, kita mesti memberikan mereka tiga mata.

“Separuh masa pertama adalah baik, kami telah merancang corak permainan agresif ini dan menjaringkan gol. Saya telah memberitahu pemain-pemain dan kami terus melakukannya pada separuh masa kedua, tetapi malangnya, permainan tidak menjadi. Kami memerlukan lebih banyak masa untuk berlatih permainan set-piece,” katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Pemain Selangor FC, Alvin Fortes (dua, kiri) mengawal bola dari pemain Muangthong United Tristan Do (kanan) pada Liga Juara-Juara AFC 2 di Stadium MBPJ malam tadi. - Foto: Bernama

Pemain Selangor FC, Alvin Fortes (dua, kiri) mengawal bola dari pemain Muangthong United Tristan Do (kanan) pada Liga Juara-Juara AFC 2 di Stadium MBPJ malam tadi. – Foto: Bernama

Pada aksi malam tadi, Selangor menguasai permainan di laman sendiri dengan cukup baik apabila membuka tirai jaringan seawal minit kelima menerusi Quentin Cheng.

Namun dua gol kebangkitan di separuh masa kedua Muangthong masing-masing pada minit ke-53 dan ke-76 memusnahkan impian Gergasi Merah mengutip tiga mata penuh sebagai bekalan melangkah awal ke pusingan 16.

Selangor juga tidak bernasib baik selepas tiga cubaan menjaringkan gol pada separuh masa kedua sekadar menggegar palang gol Muangthong.

Kekalahan itu sekali gus menyaksikan Selangor tercampak ke posisi ketiga Kumpulan H dengan tujuh mata selepas lima perlawanan.

Wakil Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai Motors, kekal menerajui saingan kumpulan itu dengan 12 mata, Muangthong United di tempat kedua dengan lapan mata manakala Dynamic Herb Cebu dari Filipina tercorot dengan satu mata.

Selangor wajib menang ke atas Dynamic Herb Cebu pada aksi pelengkap kumpulan 5 Disember ini, selain perlu mengharapkan ‘ihsan’ keputusan pasukan lain untuk mengesahkan slot pusingan kalah mati itu. – Bernama



Source link

OR

Scroll to Top