nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Khairy Jamaluddin dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman antara peserta yang akan memeriahkan acara Kota Bharu Half Marathon pada Sabtu ini, di sini.
Penasihat Kota Bharu Half Marathon (KBHM), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata acara larian berkenaan dianjurkan oleh Yayasan KB Care bersempena Tahun Melawat Kelantan.
Katanya, sehingga kini seramai 2,055 peserta dari seluruh Malaysia yang akan menyertai larian terbabit membabitkan tiga kategori larian iaitu 21.1 kilometer (km), 10km dan 5km.
“Kali terakhir Kelantan mengadakan aktiviti larian ini adalah pada 2017 sebelum ianya diadakan semula pada Sabtu ini.
“Alhamdulillah dua bekas Menteri Belia dan Sulan, Khairy Jamaluddin dan Syed Saddiq juga sudah mengesahkan untuk menyertai larian ini.
“Uniknya, larian yang bermula jam 4 pagi itu juga akan melalui kawasan bersejarah sekitar Kota Bharu termasuk kilang mancis dan Masjid Muhammadi,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Katanya, pemenang akan memperoleh wang tunai sehingga RM2,000 bergantung kepada kategori serta trofi dan sijil.
“Kita berharap acara larian ini akan dijadikan sebagai acara tahunan kerana sambutan yang diterima adalah menggalakkan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd