Kolo Muani sedia buat penampilan sulung

Kolo Muani sedia buat penampilan sulung


London: Penyerang baharu Tottenham Hotspur, Randal Kolo Muani bakal melakukan penampilan sulungnya dalam saingan Liga Perdana Inggeris menentang Aston Villa, Ahad ini, namun skuad The Lilywhites kehilangan khidmat Yves Bissouma yang mengalami kecederaan buku lali.

Pengendali Spurs, Thomas Frank berkata, Kolo Muani yang dipinjam dari Paris Saint Germain (PSG) bulan lalu, kembali cergas selepas terlepas lima perlawanan akibat kecederaan paha.

“Kolo Muani sudah berlatih bersama pasukan selama dua minggu, dan dia menunjukkan peningkatan yang baik. Dia akan tersenarai dalam skuad menentang Villa, jadi itu sesuatu yang positif,” kata Frank kepada pemberita, semalam.

Bagaimanapun, Frank mengesahkan Bissouma akan direhatkan selama beberapa minggu selepas mengalami masalah ligamen ketika beraksi bersama skuad kebangsaan Mali dalam kempen kelayakan Piala Dunia baru-baru ini.

“Malangnya, Bissouma tercedera ketika bersama pasukan kebangsaan. Semua sudah lihat insiden itu, dia mengalami kecederaan ligamen di buku lali dan perlu berehat beberapa minggu,” jelas Frank.

Turut masih berada dalam senarai kecederaan ialah penyerang Dominic Solanke yang menjalani pembedahan kecil bulan lalu.

“Dom menunjukkan perkembangan positif selepas pembedahan. Dia sudah kembali menjalani latihan di padang dan berada pada landasan tepat,” tambah Frank.

Spurs kini berdepan krisis kecederaan dengan tujuh pemain utama masih tidak dapat diturunkan termasuk Dejan Kulusevski, James Maddison, Radu Dragusin dan Kota Takai.

Pasukan bimbingan Frank yang juga juara Liga Europa itu kini menghuni tangga ketiga liga dengan 14 mata, dua mata di belakang pendahulu, Arsenal, dan masih belum tewas dalam tujuh perlawanan terakhir dalam semua kejohanan.

Villa pula di tangga ke-13 dengan sembilan mata daripada tujuh perlawanan, namun Frank masih memburu kemenangan pertama menentang pasukan bimbingan Unai Emery selepas tewas tiga kali dalam lima pertemuan liga sebelum ini.

“Apa yang dilakukan Unai sepanjang kariernya memang luar biasa. Dia membina sesuatu yang hebat di Villa, hampir membawa mereka ke Liga Juara-Juara. Saya tidak sabar menantikan pertemuan kali ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top