Kompak ranggi

Kompak ranggi


lizamridzuan@hmetro.com.my

DALAM dunia urban yang semakin padat, kereta kompak bukan lagi pilihan kedua malah menjadi keutamaan dalam kehidupan rutin harian terutama jika kerap memandu di dalam bandar.

Honda City Hatchback e:HEV RS antara yang terdapat dalam pasaran dan sejak diperkenalkan pada 2021 ia menjadi pilihan golongan muda yang mahukan kenderaan ranggi dan praktikal.

Vroom berpeluang memandu uji model peningkatkatan (facelift) yang dilancarkan pada tahun lalu yang ditawarkan dengan kemasan luaran dan dalaman diperbaharui termasuk warna baharu Oren seperti unit pandu uji ini.

Antara pembaharuan yang diperkenalkan pada model ini ialah rekaan gril hadapan baharu yang sporty, kemasan bawah bampar dan perumah lampu kabus yang diperbaharui.

Ia juga dipadankan dengan rim 16 inci hitam baharu selain bampar belakang dengan ciri difusser, cermin sisi hitam dan logo RS pada hadapan dan belakang.

Sebagai model hibrid, logo Honda dilingkari dengan warna biru untuk membezakannya dengan varian lain.

Kemasan dalaman dengan ciri yang ditambah baik seperti panel pada papan pemuka warna merah terkini, kerusi kombinasi kulit dan fabrik dengan jahitan merah, juga pada stereng.

Kemasan lain dengan pedal sport, kluster meter TFT bersaiz 7 inci pemandu dan infotainmen bersaiz 8 inci dengan keterhubungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

Meskipun kompak, penulis rasa selesa duduk di kerusi dengan unjuran kaki yang baik. Juga pada penumpang belakang dengan jarak roda 2,600 milimeter (mm) menjadikan ia selesa.

Paling menarik ciri ultra seat di belakang menjadikan City Hatchback lebih praktikal untuk membawa pelbagai barangan antara yang masih kekal sejak ia diperkenalkan dalam pasaran.

Namun apa yang paling menarik ialah di bawah bonet yang kekal dengan enjin hibrid e:HEV bukan sahaja menjadikan penggunaan bahan api lebih jimat malah enjin juga senyap.

Kombinasi enjin 1,498 cc Atkinson-cycle 4 silinder DOHC i-VTEC dan motor elektrik menghasilkan kuasa keseluruhan 109PS pada 5,600 hingga 6,400rpm dan tork 253Nm pada 3,500 hingga 8,000rpm.

Motor elektrik ini mendapat kuasa daripada bateri lithium-ion, yang dicas oleh motor elektrik kedua disambungkan kepada enjin tanpa turbo yang beroperasi menggunakan kitaran Atkinson menerusi e-CVT (Electric Continuously Variable Transmission).

Sistem ini menjadikan penggunaan bahan api sangat efisien membolehkan ia bergerak sejauh 700 kilometer (km) dengan satu isian bergantung kepada gaya pemanduan.

Di dalam bandar, kereta ini kerap bergerak dalam mod elektrik, menjadikan penggunaan bahan api sekitar 3.6L/100km dalam kitaran campuran.

Pemanduan juga stabil, senyap dan sangat sesuai urban dengan stereng rasa ringan dan tajam, sesuai untuk lorong sempit atau parkir dalam ruang yang terhad.

Talaan suspensi hadapan MacPherson Strut dan belakang torsion beam pula lebih stabil dan pengendalian cukup memuaskan untuk saiznya juga ketika menerusi selekoh atau laluan lurus.

Elemen keselamatan dengan 6 beg keselamatan, walk-away lock dan sembilan ciri Honda Sensing antaranya kawalan pelayaran adaptif (ACC), Bantuan Kekal Lorong (LKAS) dan Amaran Keluar Lorong (LDW) dan Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW) menjadikan City Hatchback e:HEV RS antara hatchback paling lengkap daripada segi keselamatan dalam kelasnya.

Secara keseluruhan model ini adalah contoh terbaik bagaimana kereta kompak dengan pelbagai ciri teknologi moden dengan ruang dan praktikaliti.

Pada harga RM112,900 (atas jalan tanpa insurans), ia mungkin bukan yang paling murah, tapi buat mereka yang mahukan pemanduan harian dengan penjimatan bahan api yang baik ini adalah model yang sesuai.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top