BANGI : Pusat Kebudayaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan menganjurkan Konsert Dikir Barat UKM 2026 pada 27 Jun ini di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) sebagai usaha memperkasakan dan melestarikan seni tradisional Melayu.
Pusat Kebudayaan UKM berkata, konsert yang mengetengahkan keunikan seni Dikir Barat dari Pantai Timur itu bakal menampilkan gabungan elemen budaya dari Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Katanya, penganjuran konsert tersebut bertujuan meraikan kepelbagaian seni warisan tempatan selain memperkenalkannya kepada masyarakat umum, khususnya generasi muda agar terus menghargai dan memelihara budaya tradisional negara.
“Selain berperanan sebagai platform persembahan, konsert ini turut menjadi serampang dua mata dalam membentuk hubungan serta jaringan kerjasama strategik antara kumpulan seni budaya dari Pantai Timur dengan komuniti kampus.
“Usaha ini sekali gus dapat memperkukuhkan dan melestarikan seni tradisional di peringkat lebih tinggi melalui jambatan seni dan budaya,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, pihak penganjur turut menyasarkan penghasilan dokumentasi dan liputan media berkaitan konsert berkenaan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan mempromosikan serta memastikan kelangsungan seni Dikir Barat sebagai warisan budaya yang bernilai tinggi.
“Konsert ini dijangka menampilkan persembahan penuh warna-warni menerusi gabungan irama, kreativiti lirik dan semangat kebudayaan yang menjadi identiti unik seni Dikir Barat.
“Tiket dijual pada harga RM5 seorang manakala kemasukan adalah percuma bagi kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah,” katanya. – UTUSAN






