sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang memberi bayangan impiannya untuk beraksi di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) masih belum tertutup biarpun usianya semakin meningkat.
Menurut Azizulhasni, faktor umur tidak seharusnya dijadikan ukuran mutlak dalam menentukan kemampuan seseorang atlet untuk terus bersaing di peringkat tertinggi.
Katanya, perkembangan sukan moden menyaksikan semakin ramai atlet mampu mengekalkan prestasi pada usia dianggap melepasi kemuncak karier, sekali gus membuktikan usia bukan lagi penghalang utama untuk terus berjaya.
Pelumba kelahiran Terengganu itu menjadikan bintang bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo sebagai contoh terbaik apabila masih mampu beraksi pada tahap tertinggi termasuk Piala Dunia 2026 walaupun sudah berusia 41 tahun.
“Prestasi Ronaldo sangat menarik untuk dibincangkan terutama dalam kalangan mereka yang berada dalam dunia sukan.
“Pada usia 41 tahun, dia bukan sahaja berada dalam keadaan fizikal yang baik, malah masih mampu memberikan prestasi tinggi dalam perlawanan kompetitif.
“Namun begitu, setiap atlet terutama dalam sukan berprestasi tinggi tetap mempunyai tempoh atau tarikh luput masing-masing, sama seperti bidang lain yang mempunyai fasa naik dan turun,” katanya menerusi Facebook miliknya.
Tambahnya, persoalan utama perlu dibincangkan adalah bagaimana seseorang atlet dinilai sama ada masih layak berada di pentas tertinggi atau sebaliknya kerana penilaian itu tidak seharusnya dibuat berdasarkan umur semata-mata, sebaliknya perlu melihat kepada tahap prestasi semasa atlet berkenaan.
“Saya sering tertanya-tanya bagaimana sukan berprestasi tinggi menentukan tarikh luput seseorang atlet.
“Adakah ia berdasarkan umur semata-mata? Jika penjawat awam mempunyai had umur persaraan wajib pada usia 60 tahun, adakah atlet perlu mempunyai had umur tertentu?
“Atau sebenarnya penilaian perlu dibuat berdasarkan prestasi semasa. Jika prestasi mula merosot seiring peningkatan usia, mungkin ketika itu kita boleh mengatakan atlet tersebut sudah menghampiri penghujung kariernya,” katanya.
Dia yang dikenali sebagai ‘The Pocket Rocketman’ memberi contoh ramai atlet dunia membuktikan usia bukan faktor penentu kejayaan apabila masih mampu kekal relevan dan kompetitif meskipun sudah berusia. Antaranya legenda bola sepak Amerika, Tom Brady serta bintang bola keranjang NBA, LeBron James yang terus menampilkan prestasi cemerlang walaupun berada pada penghujung karier.
Kenyataan itu dilihat memberi petunjuk pemenang pingat perak acara keirin di Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu masih mempunyai keinginan untuk terus berlumba dan belum bersedia menutup lembaran kariernya, termasuk kemungkinan mengintai peluang beraksi di LA28.
Berdasarkan perkembangan semasa, keputusan mengenai masa depan Azizulhasni dijangka banyak bergantung kepada tahap prestasi, kecergasan dan kesediaannya untuk terus bersaing dengan pelumba terbaik dunia dalam tempoh dua tahun akan datang.
© New Straits Times Press (M) Bhd






