Status Pearly-Thinaah bersama BAM bakal terjawab dalam tempoh dua minggu lagi. Gambar kecil: Tengku Zafrul
KONTRAK beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menuju ke fasa akhir apabila akan dimuktamadkan dalam tempoh dua minggu.
Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, perkara tersebut masih belum diputuskan kerana terdapat beberapa perkara yang masih dalam peringkat perbincangan.
Namun tambah beliau, keputusan yang bakal dicapai kelak akan mewujudkan situasi menang-menang buat kedua-dua pihak.
“Ia kini berada pada fasa akhir dengan hanya satu atau dua perkara kecil yang masih dalam perbincangan.
“Kami telah berbincang secara terus terang dan terbuka dengan Pearly dan Thinaah serta sepakat untuk memuktamadkan perjanjian sebelum Terbuka Jepun,” katanya dalam sidang media selepas sesi libat urus bersama para pemain di Bukit Kiara pada Isnin.
Terbuka Jepun yang berstatus Super 750 dijadualkan berlangsung di Tokyo bermula 15 hingga 20 Julai ini.
Tengku Zafrul menjelaskan bahawa kontrak baharu itu akan berdasarkan pendekatan berorientasikan prestasi, termasuk insentif tambahan jika pemain menunjukkan peningkatan dalam kejohanan utama.
“Apa yang penting bagi saya apabila menilai seseorang, kita perlu tetapkan sasaran. Kalau mereka lebih berjaya, kita patut beri mereka ganjaran lebih,” katanya.
Mengulas mengenai tempoh rundingan yang mengambil masa enam bulan sejak kontrak tamat Disember 2024, beliau berkata, pendekatan adalah untuk memberi tumpuan kepada masa dpan dan belajar daripada pengalaman.
“Saya tidak mahu menuding jari kepada sesiapa. Apa yang penting, kita perlu memberi keutamaan kepada kemajuan sukan negara serta kebajikan atlet,” tegasnya.
Beliau turut menyuarakan hasrat agar sebarang isu berkaitan kontrak pemain selepas ini dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan cekap.
“Itulah harapan saya. Kita perlu ambil iktibar daripada situasi kali ini. Apa yang penting, semua pihak mendapat manfaat dan pemain dapat memberi tumpuan penuh terhadap kejohanan,” ujar Tengku Zafrul.
Keputusan untuk memuktamadkan kontrak pasangan nombor tiga dunia itu tertangguh beberapa kali sejak Januari lalu.