PETALING JAYA: “Saya tidak tahu sekiranya video itu wujud atau tidak.”
Demikian respons pelakon, Muaz Zabir berkenaan ugutan terbuka seorang individu yang mahu menyebarkan video yang kononnya dia ‘bermesraan’ dengan aktres, Bella Astillah di Threads, baru-baru ini.
Muaz berkata, dia tidak mampu menghalang tindakan individu terbabit untuk berbuat sedemikian, namun berharap orang ramai berhenti membangkitkan perkara yang sudah diselesaikannya dua tahun lalu.
“Pada saya, penjahat ini kadang-kadang mereka bukannya dilahirkan sebagai penjahat, tapi mereka jadi jahat sebab persekitaran mereka. Saya faham berita-berita yang sedang tersebar di media sosial sekarang ini.
“Namun, dengan rendah dirinya saya minta maaf kalau perkara yang pernah terjadi itu dibawa sampai ke hari ini sehingga menyebabkan ada
beberapa pihak yang tidak berpuas hati.
“Saya berharap semua pihak bergeraklah ke hadapan kerana bumi ini berputar. Tetapi saya tidak menghalang apa orang mahu keluarkan dan lakukan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Enggan isu tersebut terus berlarutan, pelakon drama Dorm 403 itu mengakui dirinya tidak tahu mengenai kewujudan video yang dijadikan ugutan oleh individu berkenaan.
“Perkara itu sudah dua tahun berlalu. Masing-masing juga sudah bertemu kebahagiaan sendiri. Apa kata kita buka buku baru. Saya tidak tahu apa yang mahu dikeluarkan atau diceritakan itu ada atau tidak.
“Jika wujud pun, saya percaya saya sudah pun selesaikan dan meminta maaf ketika isu itu terjadi meskipun saya tidak mengiyakan atau menafikan. Kalau kemaafan itu tidak cukup, saya tidak tahu apa lagi mahu buat,” tegasnya.
Yakin segala yang berlaku mempunyai hikmahnya, Muaz bagaimanapun terbuka untuk berdepan dengan individu tersebut untuk selesaikan secara baik andai kemaafan yang lalu tidak mencukupi.
“Saya adalah manusia yang sangat berfikiran positif. Saya percaya setiap benda tu berlaku pasti ada hikmah.
“Mungkin kita boleh bagi orang nampak kita, mungkin Tuhan mahu bagi rezeki yang lebih besar,
kita tak tahu. Tapi, saya sendiri tidak mahu perkara ini terus berlarutan.
“Sekiranya kenyataan ini membuat pihak berkenaan berasa kurang senang dan tidak selesa, saya terbuka hati untuk berjumpa dan boleh berbincang untuk dapatkan benda yang baik daripada apa yang berlaku ni,” ujarnya.






