MUSIM korban muncul kembali apabila masuknya bulan Zulhijjah dan umat Islam yang mempunyai keazaman pasti akan melakukan ibadah ini sempena Hari Raya Aidiladha kerana ia dikategorikan sebagai sunat muakkad yang sangat dituntut.
Dalam bab ibadah korban ini, hukumnya menjadi makruh apabila meninggalkan ia sekiranya berkemampuan.
Pengerusi Koperasi Pembangunan Halal Kariah-Kariah Masjid Daerah Batang Padang Berhad, Dr Ahmad Muzammil Mohamed Shapawi menjelaskan, kebanyakan masyarakat memahami korban hanya sebagai pembahagian daging, sedangkan pada hakikatnya hampir keseluruhan haiwan itu boleh dimanfaatkan.
“Banyak bahagian haiwan korban yang boleh dimanfaatkan merangkumi daging, tulang bertulang isi, hati, limpa, jantung, paru-paru, usus, kepala, lidah, ekor, kaki, lemak, kulit, tanduk dan organ dalaman tertentu yang boleh digunakan untuk dijadikan sebagai makanan haiwan atau baja.
“Jika kesemuanya dibuang disebabkan kita tidak tahu menguruskannya, maka di situ berlaku unsur pembaziran, kecuaian amanah dan hilangnya maslahat penerima korban,” katanya kepada Sinar Islam Plus.
Ujarnya, korban merupakan ibadah taqarrub (mendekatkan diri) kepada ALLAH SWT dan tidak wajar sebahagian besar nikmat daripada haiwan itu dibiarkan rosak atau dibuang hanya kerana kelemahan pengurusan.
DR AHMAD MUZAMMIL
Menurutnya, isu utama dalam pengurusan korban bukanlah niat, tetapi kerana tidak mempunyai beberapa kemahiran tersebut:
1 – Tidak mahir melapah
Ramai hanya tahu ambil bahagian yang sudah siap diproses seperti daging utama, hati, limpa dan tulang besar sedangkan bahagian lain rosak kerana usus pecah, perut tercemar dan organ dalaman koyak disebabkan teknik pemotongan yang salah.
2 – Tiada penyelia teknikal
Dalam sesetengah keadaan, program korban kadang-kadang mempunyai ramai ahli jawatankuasa namun tiada ketua pelapahan profesional, sedangkan proses korban merangkumi penyembelihan, pengurusan darah, pelapahan, pengasingan organ, sanitasi dan penggredan agihan.
3 – Budaya ‘cepat siap’
Sikap mahu cepat siap termasuk cepat diagihkan dan dihabiskan sekali gus boleh cepat pulang. Akhirnya banyak organ dibuang, tulang berisi ditinggalkan, lemak dibazirkan dan kulit pula rosak.
Menurut beliau, seekor lembu boleh memberi banyak manfaat kepada fakir miskin, asnaf, keluarga, pusat kebajikan, pondok pengajian dan komuniti.
“Namun jika sebahagiannya dibuang kerana cuai atau jahil, maka pengurusan ibadah korban itu perlu diperbaiki.
“Ia bukan sekadar isu teknikal, tetapi isu amanah dalam ibadah,” jelasnya.
Sebagai penyelesaian, beliau mencadangkan satu keperluan bagi pihak berautoriti untuk memandu ummah dengan mewujudkan:
1 – Ketua pelapahan profesional
Perlu ada penyelia pelapahan yang berperanan memastikan manfaat haiwan korban digunakan dengan maksimum dan antara tugasnya ialah memastikan tiada bahagian dibazirkan selain mengajar teknik menguruskan organ, mengasingkan bahagian yang boleh dimakan serta menjaga kebersihan.

SEPATUTNYA ada pakar atau tenaga yang mahir dalam menguruskan proses sembelihan dan pelapahan sebelum daging diagihkan. Foto Canva
2 – Latihan prakorban
Sebelum menjelangnya hari pelaksanaan ibadah korban, mesti diadakan kursus ringkas mengenai demo pelapahan, pengurusan organ dalaman, teknik cuci usus dan pengasingan bahagian.
3 – Wujudkan SOP korban
Perlu ada prosedur operasi standard (SOP) untuk bahagian daging, tulang bertulang isi, organ dalaman, kulit, kepala, kaki dan sisa tidak boleh dimakan selain setiap bahagian ada petugas khusus.
Sambungnya, proses penyembelihan juga memerlukan penglibatan tukang daging berpengalaman yang dibayar upahnya antara RM200 hingga RM500.
“Kehadirannya boleh menyelamatkan puluhan kilogram daging, organ, tulang dan kulit.
“Adalah lebih baik membayar kepakaran tukang daging berbanding berlaku pembaziran yang besar,” ujarnya.

TENAGA kerja yang mahir mampu mengurangkan pembaziran sekali gus memanfaatkan setiap bahagian haiwan korban semaksimum yang boleh. Foto Canva
Ujarnya, dalam Maqasid Syariah, korban bukan hanya ritual sembelihan, tetapi juga merupakan ibadah, kebajikan sosial, pemeliharaan nikmat, pengagihan makanan dan pengukuhan ukhuwah.
“Sikap membazir dan kegagalan memanfaatkan haiwan korban bertentangan dengan Maqasid Syariah Hifzul Mal (memelihara harta) selain mengelakkan kesusahan masyarakat.
“Ini kerana ramai asnaf sebenarnya sangat memerlukan semua bahagian daripada korban tersebut,” jelasnya.
Sebagai akhirnya, beliau mencadangkan agar pihak masjid dan ahli jawatankuasa korban membentuk Unit Pengurusan Korban Profesional yang terdapat penyembelih bertauliah, tukang lapah, sanitasi, agihan, dokumentasi dan pemanfaatan organ.
“Malah mereka boleh mewujudkan manual korban di masjid, video latihan dan modul komuniti. Ini lebih menepati konsep ihsan dalam ibadah.
“Ia bukanlah isu kecil. Banyak nikmat korban sebenarnya terbazir disebabkan kelemahan kemahiran dan pengurusan.
“Islam menuntut amanah, ihsan dan mengelakkan pembaziran. Maka penyelesaian terbaik ialah latihan, SOP dan penggunaan tenaga mahir agar haiwan korban dapat benar-benar dimanfaatkan kepada umat,” ujarnya.






