SEBULAN dua sebelum Hari Raya Aidiladha, media sosial dipenuhi tawaran korban luar negara serendah RM350 satu bahagian lembu.
Bayar online, terima sijil dan video pendek, maka selesailah. Namun saban tahun, isu scam korban kembali tular apabila gambar haiwan yang sama digunakan dan hanya bertukar kad nama dari sudut berbeza.
Persoalannya, adakah semua korban dalam talian itu scam dan tidak sah?
Jawapannya tidak mudah dan ia bergantung kepada siapa penganjur, akad yang digunakan serta tahap ketelusan urusan.
Berpandukan penjelasan Jabatan Mufti Pahang, pengurusan korban di Malaysia boleh dibahagikan kepada dua bentuk:
1. Korban anjuran badan amal (Harus)
Anjuran masjid, surau atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam yang tidak mencari keuntungan. Akad yang digunakan ialah wakalah berdasarkan kos sebenar haiwan dan pengangkutan.
Lebihan biasanya disedekahkan. Inilah akad ta’awun (bantu-membantu) yang syarak beri banyak kelonggaran padanya.
2. Korban anjuran syarikat komersial (Harus bersyarat)
Hukum asalnya harus, tetapi tertakluk kepada tiga syarat:
I – Akad jualan iaitu syarikat mesti memiliki haiwan sebelum menjualnya.
KEBIASAANNYA ibadah korban di Malaysia dilaksanakan di masjid selain dianjurkan oleh NGO. Foto Canva
II – Akad wakalah iaitu kadar upah wajib didedahkan kepada muwakkil supaya wujud reda-meredai.
III – Wakil penternak tidak boleh menaikkan harga tanpa kebenaran penternak dan jika tidak, ia menjadi untung atas angin dalam akad penuh gharar.
Analisis kes semasa
Harga purata sebahagian lembu di Malaysia antara RM700 hingga RM900. Di luar negara pula ia ditawarkan antara RM350 hingga RM450.
Soalan asas yang patut kita direnungkan:
I – Adakah harga itu munasabah meliputi kos haiwan, sembelihan, pengangkutan, agihan, sijil dan keuntungan syarikat?
II – Berapa kadar upah sebenar yang dikenakan dan mengapa ia jarang didedahkan?
III – Adakah wakil syarikat benar-benar hadir di negara penyembelihan atau hanya ‘wakil atas wakil atas wakil’?
Inilah titik kritikal apabila struktur kos tidak masuk akal dan akad tidak telus, ia jatuh dalam kategori syubhah.

FAKIR miskin diraikan pada Hari Raya Aidiladha selepas mereka diberikan daging korban sesuai dengan syariat Islam. Foto Canva
Jika berlaku penipuan, korban itu sebenarnya tidak berlaku dan wang yang dibayar terdedah kepada akl al-mal bil-batil (memakan harta dengan cara batil).
Jabatan Mufti Pahang menjelaskan, korban luar negara secara wakalah mutlaqah hukumnya harus, tetapi penganjur komersial wajib telus tentang kadar upah.
Mufti menasihatkan agar mengelakkan akad ‘wakil atas wakil’ jika wakil di Malaysia langsung tidak hadir di negara penyembelihan.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Kali Ke-66 (2004) pula memutuskan harus mengagihkan daging korban ke negara lain, tertakluk akad dan pelaksanaannya yang sah dari sudut syarak.
Jalan keluar menurut syarak
1. Bagi penganjur:
I – Dedahkan kadar upah atau margin keuntungan secara terbuka.
II – Sediakan bukti penyembelihan secara spesifik, bukannya stok gambar berulang.
III – Pastikan wakil di Malaysia hadir atau ada pengesahan pihak ketiga yang bebas.
2. Bagi peserta korban Muslim:
Sebelum membuat sebarang bayaran, tanya terlebih dahulu kepada diri sendiri empat soalan ini, iaitu:
I – Berapa kadar upah penganjur daripada jumlah yang dibayar?
II – Adakah syarikat berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan mempunyai rekod yang sebenar?
III – Adakah wakil mereka hadir di negara penyembelihan?
IV – Adakah harga munasabah dengan kos sebenar?

IBADAH korban di luar negara lebih murah dan ramai memilih untuk melakukan korban di sana. Foto Canva
Jika jawapan kabur, lebih baik dijauhi atau pilihlah ibadah korban anjuran masjid atau NGO yang dipercayai.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Antara kedua-duanya ada perkara syubhah.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Ibadah korban merupakan lambang ketaatan dan ia bukan sekadar transaksi online. Apabila kita memilih harga termurah tanpa mempedulikan kesahihan akad, kita berisiko menjadikan ia sebagai korban tipu daya komersial.
Daging yang sedikit tetapi disembelih dengan akad yang sah, lebih bernilai di sisi ALLAH berbanding sijil online yang cantik tetapi penuh tanda tanya. Rezeki yang berkat lahir daripada urusan yang telus.
***Penulis, USTAZ MOHD HAFIDZ MOHD ZAWAWI merupakan Perancang Kewangan Islam (IFAR).






