Kostum anime muslimah

Kostum anime muslimah



rencana@hmetro.com.my

BERHIJAB bukan penghalang buat wanita ini untuk menceburi dunia cosplay sejak 2015 yang bermula sekadar hobi mengisi masa lapang.

Awalnya dia hanya berjinak-jinak dengan dunia jahitan baju kurung hasil tunjuk ajar yang ibunya Aznita Ahmad, 57.

Abtsarina Zalifah Mohd Taufek, 28, kemudian belajar menjahit kostum pula apabila sudah mula memahami rentak dalam dunia jahitan.

Sentuhan kreatif itu turut diterapkan dengan konsep menutup aurat dan sopan dalam setiap hasil jahitannya.

“Kostum yang dipakai watak kartun (anime) juga sesuai digayakan wanita Muslimah dan tidak terlalu mencolok mata.

“Apatah lagi kostum yang dihasilkan kena betul-betul tampil kreatif dan hanya menggunakan kain lebihan atau perca yang berada di rumah selain kos sederhana untuk membeli bahan jahitan seperti kain, cat dan aksesori,” katanya yang juga penuntut Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor.

Selain menjahit sendiri kostum, dia juga memperagakan hasil jahitannya ketika festival yang memerlukan pengunjung untuk menjadi watak anime kegemaran mereka.

Malah dia juga tidak menafikan menceburi dunia cosplay kerana minat dan gembira apabila dapat memakai kostum hasil jahitan sendiri ketika festival anime yang pernah dihadirinya.

Menurutnya, menggayakan watak yang tidak menutup aurat agak mencabar kerana perlu menjadi lebih kreatif dalam olahan tudung seperti rambut bagi sesuatu watak anime.

“Kelebihan sebagai wanita berhijab, saya perlu memakai tudung seperti biasa, meletakkan beberapa perhiasan dan mengolahnya seperti rambut palsu.

“Gaya pemakaian tudung terbabit perlu sesuai dengan keselesaan diri sendiri supaya mudah untuk digayakan.

“Tudung berkenaan juga diolah mengikut rambut watak yang mahu diperagakan.

“Pemilihan warna tudung yang seakan sama dengan warna rambut watak juga amat penting selain menggunakan pin yang banyak untuk memastikan bentuk tudung tidak lari,” katanya.

Tambahnya, bagi menggayakan watak dan bertudung dia perlu memakai anak tudung yang longgar serta tidak mengikut bentuk leher supaya fabrik tidak melekat pada kulit.

Bagi kostum yang ketat dan sering kali diperagakan individu yang tidak menutup aurat, dia cuba menjahit dan menggayakannya mengikut kesesuaian sebagai wanita Muslimah.

“Jika watak terbabit mempunyai pemakaian yang mencolok mata, saya cuba untuk membuat saiz kostum sedikit longgar.

“Saya sentiasa cuba sedaya upaya menjahit kostum yang saya mahu pakai untuk kelihatan lebih sopan dan sesuai dengan bentuk badan saya,” katanya.

Jelasnya lagi, ketika awal-awal mengenali dunia cosplay melalui majalah, dia tidak yakin boleh memperagakan kostum dari watak kegemarannya kerana bentuk badannya.

“Ketika itu, saya rasa teringin untuk menggayakan kostum di acara atau festival anime, tetapi tidak kesampaian kerana tidak berani untuk menampilkan diri di khalayak ramai,” kata anak ketiga daripada enam beradik itu.

Bagaimanapun, wanita yang berasal dari Rembau, Negeri Sembilan itu mula rasa berani untuk menggayakan salah satu watak kegemarannya iaitu Raven daripada kartun Teen Titans ketika Comic Fiesta 2019.

Menurutnya, kostum terbabit adalah kostum pertama yang dihasilkannya pada 2015 ketika pertama kali cuba menjahit kostum di rumahnya di Rembau.

Jelasnya, dari 2015 hingga kini, dia masih lagi aktif dengan menjahit dan menggayakan hasil jahitannya itu.

“Sepanjang 10 tahun saya menceburi dunia cosplay, saya berjaya menjahit 12 kostum daripada 12 watak yang berbeza.

“Antara kostum watak yang pernah dijahit saya sendiri ialah Suma dari Demon Slayer, Star Butterfly dari Star vs The Forces of Evil, Raven dari Teen Titans dan Hirakoba Rin dari New Prince of Tennis: Rising Beat.

“Disebabkan kekangan sebagai pelajar sepenuh masa, saya terpaksa mencari masa untuk menjahit kostum,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR