PENGENDALI Borussia Dortmund, Niko Kovac menyeru wakil Bundesliga Jerman itu untuk meningkatkan mutu permainan apabila menerima kunjungan Barcelona pada aksi timbal balik suku akhir Liga Juara-Juara pada Rabu, dalam usaha membalikkan defisit empat gol sebelum ini.
Bekas penyerang Dortmund, Robert Lewandowski menjaringkan dua gol ketika pasukan Jerman itu dibelasah oleh Barcelona pada perlawanan pertama minggu lalu, hampir menamatkan impian mereka dalam Liga Juara-Juara.
Dortmund, finalis Liga Juara-Juara pada 2024, berdepan tugas sukar untuk layak ke separuh akhir dengan kemenangan ke atas Barcelona, yang masih belum tewas dalam mana-mana perlawanan pada tahun 2025.
“Kami sedar akan situasinya. Kami mahu mempamerkan wajah yang sama sekali berbeza esok berbanding perlawanan pertama dan memenangi perlawanan ini.
“Keajaiban sentiasa mungkin berlaku, tetapi kami juga tahu bahawa Barcelona belum tewas dalam sebarang perlawanan kompetitif tahun ini.
“Kami perlu bersedia dari minit pertama esok dan mendapatkan sokongan padu daripada para peminat.
“Hanya daripada merekalah kami akan mendapat semangat yang diperlukan, kesungguhan untuk berlari, persembahan dan juga semangat juang,” kata Kovac.
Dortmund, yang turut bergelut dalam Bundesliga dan kini berada di tangga kelapan dengan 42 mata, kemungkinan tidak dapat menurunkan kapten mereka, Emre Can, untuk perlawanan timbal balik di Jerman menentang Barca yang sedang memburu tiga kejuaraan.
“Kami merehatkan Emre dalam latihan hari ini. Beliau mengalami masalah otot di bahagian pangkal pahanya sejak beberapa minggu lalu dan beliau sentiasa menahan kesakitan. Anda perlu menekankan perkara ini. Kemungkinan beliau tidak akan bermain esok, kami perlu melihat keadaannya,” ujar Kovac.
Kovac turut memuji pemain tengah, Felix Nmecha, yang kembali ke pasukan awal bulan ini selepas lama diketepikan akibat kecederaan lutut, sambil menambah: “Felix telah berkembang dengan sangat baik sebagai pemain dan juga sebagai individu.
“Beliau mampu melakukan segalanya dengan bola, mempunyai dinamik yang hebat dan merupakan seorang pemain yang lengkap. Selepas kecederaan panjangnya, beliau masih sedikit ketinggalan dari segi kecergasan.”
LIGA JUARA-JUARA
SUKU AKHIR KEDUA
RABU (16 APRIL)
Aston Villa (1) lwn (3) Paris Saint-Germain, 3 pagi
Borussia Dortmund (0) lwn (4) Barcelona, 3 pagi
KHAMIS (17 APRIL)
Real Madrid (0) lwn (3) Arsenal, 3 pagi
Inter Milan (2) lwn (1) Bayern Munich, 3 pagi
* Dalam kurungan keputusan suku akhir pertama