MAGIS jurulatih berpengalaman, Herry Iman Pierngadi dilihat menjadi resipi kejayaan buat beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik apabila mengungguli Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 di China pada Ahad.
Figura dari Indonesia itu tidak menunggu lama untuk menurunkan ilmunya selepas membimbing pasangan nombor enam dunia tersebut sejak Februari lalu.
Namun perjalanan tersebut bukan mudah apabila Aaron dibelenggu kecederaan bahu kanan yang menyebabkan mereka tersingkir seawal pusingan pertama dalam saingan Masters Orleans dan Seluruh England pada Mac.
Berbekalkan tekad enggan mengalah, mereka bangkit untuk meraih gelaran pertama musim ini di Ningbo.
Aaron bagaimanapun enggan cepat berpuas hati dengan kejayaan tersebut kerana masih banyak ilmu yang perlu dituntut dari Herry.
“Kami berharap untuk terus belajar daripada Herry. Dia adalah jurulatih baharu dan kami masih menyesuaikan diri dengan pelbagai gaya permainan.
“Saya rasa ini adalah prestasi yang lebih baik selepas Sukan Olimpik. Kami memenangi gangsa (di Paris), tetapi selepas itu prestasi merudum.
“Jadi kami terus berusaha untuk mencari rentak terbaik, namun akibat kecederaan, ia menjejaskan usaha kami. Gembira akhirnya ia dapat dicapai di sini (Ningbo),” ujar Aaron.
Mereka meraih gelaran itu selepas menewaskan pasangan tuan rumah, Chen Bo Yang-Liu Yi 21-19, 21-17 dalam aksi final untuk menamatkan kemarau 18 tahun selepas kali terakhir dimenangi Choong Tan Fook-Lee Wan Wah di Johor Bahru pada tahun 2007.
Wooi Yik turut memberi penghargaan buat Herry yang terkenal dengan julukan Naga Api kerana membantu mengembalikan rentak terbaik di bawah bimbingannya.
“Kami berterima kasih kepadanya kerana mengeluarkan apa yang ada dalam diri untuk bergelar juara. Daripada segi latihan, ia sangat berbeza berbanding sesi sebelum ini.
“Kami melakukan lebih banyak dalam perkara tertentu yang belum pernah kami alami sebelum ini. Kami belajar sesuatu yang baru daripadanya,” ujar Wooi Yik.
Herry bangga, tapi ingatkan Aaron-Wooi Yik jangan selesa
Herry enggan berasa selesa dengan gelaran yang dirangkul beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik apabila mengungguli Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 di China pada Ahad.
Kejayaan tersebut juga membuktikan sentuhan Herry yang membimbing mereka sejak Februari lalu menerusi corak permainan agresif membuahkan hasil positif.
“Kejayaan mereka memang menggembirakan. Malah kita harap lebih banyak kejayaan menanti mereka selepas ini,” katanya yang juga terkenal dengan julukan Naga Api.
Aaron-Wooi Yik meraih gelaran itu selepas menewaskan pasangan tuan rumah, Chen Bo Yang-Liu Yi 21-19, 21-17 dalam aksi final untuk menamatkan kemarau 18 tahun selepas kali terakhir dimenangi Choong Tan Fook-Lee Wan Wah di Johor Bahru pada tahun 2007.
Di sebalik kejayaan tersebut, jurulatih berpengalaman dari Indonesia itu enggan duduk diam kerana mengakui masih banyak kerja rumah yang perlu dilakukan.
“Saya senang dengan kejayaan Aaron-Wooi Yik, ini membuktikan program latihan saya berjalan dengan baik.
“Mereka sememangnya pasangan yang cukup baik, tidak terlalu banyak input yang saya perlu berikan, namun terdapat beberapa aspek lagi yang akan mengambil masa buat mereka untuk mengadaptasinya,” katanya.
Herry menjelaskan bahawa masih banyak perkara yang perlu ditambah baik bagi memastikan mereka benar-benar berada pada prestasi optimum.
“Daripada segi permainan, ia sudah hampir dengan apa yang saya rancang. Pelan permainan sudah ada, tapi masih banyak yang perlu diperbaiki.
“Saya mahu mereka terus perbaiki permainan dan tampil lebih baik pada masa akan datang,” katanya.
Antara pencapaian hebat Herry selama 31 tahun melatih skuad badminton Indonesia ialah melahirkan juara Sukan Olimpik Candra Wijaya-Tony Gunawan (Sydney 2000) dan Hendra Setiawan-Markis Kido (Beijing 2008).
Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky menegaskan Aaron- Wooi Yik elemen yang perlu diberi perhatian ialah konsisten dengan prestasi selain mengelak kecederaan yang boleh menjejaskan usaha mereka untuk bergelar jagoan dunia.
Menurutnya, ini kerana perjalanan kedua-dua jagoan tersebut masih panjang termasuk impian memburu pingat emas pertama negara pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
“Pertama, terima kasih Tuhan dia atas gelaran ini. Mereka sangat konsisten sepanjang kejohanan ini.
“Saya harap mereka dapat memberi tumpuan dan konsisten dengan persembahan serta prestasi mereka,” katanya.