khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Saya sendiri akan turun secara mengejut melalui kaedah terjahan dari semasa ke semasa.”
Demikian amaran dikeluarkan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki terhadap pengendalian kualiti makanan di semua dewan selera Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Asyraf berkata, sekiranya berlaku kecuaian pemantauan di pihak pentadbir MRSM, beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas.
Katanya, mereka juga akan dipertanggungjawabkan sekiranya berlaku sebarang kes ‘penyimpangan.’
Asyraf turut mengarahkan agar semua MRSM terutamanya pengetua dan penyelia asrama diarah untuk melipat gandakan pemantauan terhadap kualiti makanan yang sedia ada.
“Ia agar memenuhi spesifikasi dan menu yang ditetapkan, kebersihan dapur dewan selera, perkhidmatan kontraktor dan laporkan terus kepada ibu pejabat Mara sebarang bentuk penyimpangan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Sebelum ini, Asyraf telah melakukan lawatan mengejut ke MRSM Taiping selepas menerima laporan pelajar keracunan makanan.
Ketika melakukan lawatan, Asyraf turut menghubungi kontraktor dewan makan MRSM terbabit untuk mendapatkan penjelasan.
Bagaimanapun, menerusi video yang dikongsikan menerusi TikTok @drasyrafwajdi, wanita terbabit enggan memberi kerjasama dan mengemukakan pelbagai alasan tidak munasabah.
Mengulas lanjut, Asyraf memaklumkan, Mara telah mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor makanan MRSM Taiping.
Katanya, ia termasuklah penamatan kontrak, tindakan saman dan tuntutan ganti rugi melalui mahkamah sebagai iktibar kepada pihak lain.
‘Saya tahu ada dua tiga lagi MRSM hadapi perkara sama, mereka tahu siapa mereka’
‘Ini dikatakan ikan tenggiri?’ – Asyraf Wajdi
Kontraktor makanan buat kerja sambil lewa, cincai wajib disenaraihitamkan – Pengerusi Mara
Kontraktor makanan diingat patuhi menu, elak keracunan makanan berulang
© New Straits Times Press (M) Bhd