khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengharapkan kerjasama antara Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) dan Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) yang terjalin selama ini akan menjadi lebih erat.
Harapan disuarakan Timbalan Perdana Menteri itu selepas kunjungan rasminya ke MPB dan menjadi tetamu undangan dalam Podcast Utama Buletin TV3 yang akan disiarkan pada Ahad ini.
Beliau yang merupakan Menteri KKDW juga mengucapkan tahniah kepada pengurusan tertinggi MPB selepas perpindahan semua rangkaian televisyen dari Sri Pentas ke Balai Berita, Bangsar.
“Mudah-mudahan Media Prima akan lebih cemerlang.
“Insya-Allah kerjasama antara KKDW dan semua agensinya akan terjalin dengan erat bersama seluruh rangkaian dalam Media Prima,” katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu, Ahmad Zahid tiba di Balai Berita, Bangsar pada jam 8.30 pagi.
Ketibaan beliau disambut oleh pengurusan tertinggi MPB diketuai Pengerusi, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid dan Pengarah Urusan MPB, Rafiq Razali.
Turut hadir ketika lawatan Ahmad Zahid adalah Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia Datuk Mohd Efendi Omar; Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Television Networks dan Primeworks Studios Nini Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio Nazri Noran.
Hadir sama, Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa Media Prima Farrah Naz Abd Karim dan Pengarang Kumpulan, Jabatan Berita dan Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen Media Prima Azhari Muhidin.
Yang turut hadir, Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian M Thillinadan; Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) Harian Metro Yusri Abdul Malek; Timbalan Pengarang Kumpulan New Straits Times Sharanjit Singh; Pengurus Besar Kumpulan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pejabat Pengerusi Kumpulan MPB Azlan Abdul Aziz serta Ketua Pegawai Operasi Print Towers Sdn Bhd, Luqman Adrine Ja’afar.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid turut kagum dengan kemudahan dan teknologi operasi MPB di Balai Berita, Bangsar.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga mengharapkan kemudahan yang ada itu menghasilkan liputan dan kualiti penyiaran yang terbaik oleh MPB.
© New Straits Times Press (M) Bhd