Bandar Raya Kuwait: Kerajaan Kuwait membatalkan hampir 50,000 kewarganegaraan sebagai sebahagian tindakan tegas terhadap penipuan dan pemerolehan taraf kewarganegaraan secara haram.
Memetik Gulf News, perkara itu disahkan oleh seorang pegawai kanan kerajaan negara berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri Pertama merangkap Menteri Dalam Negeri, Sheikh Fahad Yousef Al Sabah menegaskan bahawa semua permohonan kewarganegaraan tertakluk kepada pemeriksaan ketat tanpa sebarang pengecualian.
Menurutnya, setiap fail kewarganegaraan diteliti Jawatankuasa Tertinggi Penyiasatan Kewarganegaraan Kuwait bagi mengekalkan identiti negara dan membanteras penipuan.
“Usaha ini akan diteruskan sehingga keadaan dipulihkan sepenuhnya,” katanya.
Ketika ditanya sama ada fail bekas menteri, ahli parlimen atau tokoh terkenal turut disiasat, beliau menegaskan seluruh rakyat Kuwait berada di bawah pemeriksaan.
Sheikh Fahad turut menekankan pendirian kerajaan yang tidak bertolak ansur terhadap sebarang cubaan memalsukan identiti negara atau mendapatkan kewarganegaraan melalui cara penipuan.
Menyentuh berkenaan kerjasama antarabangsa pula, beliau mendedahkan akan melancarkan versi elektronik kewarganegaraan Kuwait bagi meningkatkan langkah keselamatan.
Bagi wanita yang terjejas akibat pembatalan kewarganegaraan mengikut Artikel 8 Undang-Undang Kewarganegaraan Kuwait, beliau mengesahkan tarikh akhir pada bulan Ogos untuk meminda status mereka tidak akan dilanjutkan.
Beliau menggesa individu yang terkesan supaya mengunjungi pejabat yang ditetapkan sekiranya kedutaan belum menghubungi mereka.
Susulan itu, kerajaan juga akan memastikan mereka menerima faedah kecuali kewarganegaraan, dengan syarat terus berhubung dengan negara asal.
“Ini sebahagian usaha negara menjamin kehidupan yang baik buat mereka walaupun kewarganegaraan dibatalkan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd