LA28: Jijoe letak syarat

LA28: Jijoe letak syarat

LA28: Jijoe letak syarat


IKON berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang meletakkan aspek penajaan sebagai syarat utama sebelum membuat keputusan sama ada akan meneruskan cabaran ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Pelumba berusia 38 tahun itu menjelaskan, pada tahap kariernya ketika ini, sokongan menyeluruh termasuk pembiayaan, pasukan profesional dan sistem pemulihan yang mantap menjadi keutamaan sekiranya mahu kekal bersaing di peringkat tertinggi dunia.

“Saya masih belum membuat keputusan kerana banyak perkara perlu diperhalusi termasuk soal penajaan.

“Saya tidak mahu bergantung sepenuhnya kepada KBS (Kementerian Belia dan Sukan) atau MSN (Majlis Sukan Negara), sebaliknya perlu berbincang dengan pihak penaja.

“Kalau saya ke Los Angeles, saya perlukan sistem sokongan yang kuat. Pada tahap kerjaya saya sekarang, aspek pemulihan sangat penting dan ia memerlukan pasukan yang benar-benar bersedia,” katanya yang mesra disapa Jijoe.

Kenyataan itu hadir ketika momentum prestasinya kembali memuncak selepas mencipta sensasi dengan meraih emas acara keirin pada Kejohanan Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 di Velodrom Nasional Nilai, Negeri Sembilan baru-baru ini apabila menewaskan juara dunia dari Belanda, Harrie Lavreysen.

Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu turut menambah koleksi pingat dengan gangsa dalam acara pecut individu, sekali gus memberi isyarat jelas bahawa kemampuannya belum terhakis meskipun menghampiri penghujung karier.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Amarjit Singh Gill melihat peluang Azizulhasni untuk terus beraksi di LA28 masih terbuka luas sekiranya semua keperluan dapat dipenuhi.

“Apa yang dipamerkan membuktikan beliau masih kompetitif. Jika beliau bersedia dan mendapat sokongan sewajarnya, kita perlu memberi ruang untuk beliau meneruskan cabaran,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mengakui skuad pecut negara masih bergantung kepada kelompok kecil pelumba elit termasuk Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom, sekali gus menuntut usaha berterusan bagi memperluaskan bakat baharu.

Sebagai rekod, Azizulhasni yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman merupakan pemenang pingat perak keirin di Sukan Olimpik Tokyo 2020 serta peraih gangsa pada edisi Rio 2016, selain pernah muncul juara dunia pada 2017.

Selepas ini, beliau dijangka mengalihkan fokus kepada Sukan Komanwel 2026 di Glasgow pada Julai dan Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya pada September yang boleh menjadi pentas penting dalam menentukan hala tuju kariernya menjelang LA28.



Source link

OR

Scroll to Top