Fernandes menyamai rekod Ronaldo di United

Fernandes menyamai rekod Ronaldo di United


KAPTEN Manchester United, Bruno Fernandes berjaya menyamai rekod penglibatan gol milik legenda kelab, Cristiano Ronaldo dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pencapaian itu hadir ketika dia membantu United menewaskan Brentford di Old Trafford pada awal pagi Selasa dengan melakukan bantuan gol kepada Benjamin Sesko untuk gol kedua pasukan.

Ia menyaksikan bintang antarabangsa Portugal itu kini mengumpul 140 penglibatan gol dalam saingan EPL, sekali gus menyamai catatan yang pernah dilakukan Ronaldo.

Lebih mengagumkan, Fernandes berjaya mencapai angka tersebut dalam tempoh 11 perlawanan lebih awal berbanding bekas rakan sepasukannya itu.

Untuk rekod, Ronaldo mengumpul jumlah tersebut menerusi dua tempoh berbeza di Manchester (2003-2009 dan 2021-2022) dengan catatan 103 gol dan 37 hantaran bantuan.

Berbeza dengan Fernandes, dia mempamerkan keseimbangan luar biasa sebagai penjaring dan perancang apabila meledak 70 gol dan melakukan 70 hantaran bantuan setakat ini.

Selain menyamai rekod Ronaldo, Fernandes juga menjadi pemain pertama United yang berjaya menjaringkan gol atau melakukan hantaran bantuan dalam tujuh perlawanan EPL berturut-turut sejak Robin van Persie (November 2012 – Januari 2013).

Dia juga menyertai kelab elit sebagai pemain ketiga United yang terlibat dalam gol bagi lapan perlawanan EPL berturut-turut di Old Trafford selepas Ronaldo (2008) dan Wayne Rooney (2010).

Musim ini menyaksikan kreativiti Fernandes berada di tahap tertinggi apabila dia kini mendahului carta Coca-Cola Golden Playmaker dengan 19 hantaran bantuan jurang sembilan hantaran di hadapan pencabar terdekat.

Fernandes kini hanya memerlukan dua lagi hantaran bantuan daripada baki empat perlawanan terakhir United untuk memecahkan rekod sepanjang zaman EPL yang ketika ini dipegang bersama oleh Thierry Henry (2002/03) dan Kevin De Bruyne (2019/20) dengan 20 hantaran bantuan semusim.



Source link

OR

Scroll to Top