Svetlana (kanan) tiba di garisan penamat untuk menjuarai acara Pro Sky Wanita dalam saingan Kailas Penang Skyrace.
PELARI Sepanyol, Nicolas Molina, mempamerkan aksi konsisten untuk menjuarai kategori 30 kilometer (km) Pro Sky lelaki pada Kailas Penang Skyrace 2026.
Berlangsung di Youth Park, Molina menguasai perlumbaan sejak awal sebelum melakukan pecutan kemas di fasa akhir untuk mencatat masa 3 jam 34 minit 10 saat.
“Saya fokus untuk kekalkan tenaga dalam dua jam pertama sebelum mula menekan di bahagian akhir. Laluan ini sangat mencabar, jadi pengurusan tenaga memang penting,” kata Molina.
Tempat kedua diraih pelari Jepun, Shoma Otagiri (3:41:58), diikuti wakil Iceland, Kristjan Chapman yang menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan masa 3:55:18.
Dalam saingan wanita, pelari Rusia, Svetlana Nurmukhametova, mencuri tumpuan dengan kemenangan dramatik selepas mencatat masa 4:09:37 — hanya tiga saat mengatasi pencabar terdekat dari Macedonia Utara, Elena Karanfiloska (4:09:40).
“Saya hanya teruskan larian tanpa tahu kedudukan sebenar. Bila hampir garisan penamat, baru sedar saya semakin hampir dan terus beri segala yang ada,” kata Svetlana.
Elena yang hampir menguasai perlumbaan pula mengakui terlepas peluang di saat akhir.
“Saya tidak sedar dia sudah begitu hampir di belakang. Ia memang mengecewakan, tetapi ini pengalaman berharga untuk saya,” katanya.
Tempat ketiga menjadi milik pelari Belgium, Vanja Cnops dengan catatan 4:26:10.
Edisi ketiga perlumbaan ini berjaya menarik lebih 1,500 pelari dari 30 negara, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara acara larian gunung berprestij di rantau ini.
Pengarah perlumbaan, Ahmad Azri, menyifatkan penganjuran kali ini sebagai satu kejayaan besar.
“Sambutan yang diterima sangat menggalakkan dan menunjukkan Penang Skyrace semakin mendapat tempat di pentas antarabangsa,” katanya.
Acara ini dianjurkan dengan kerjasama Penang International Hikers serta disokong Tourism Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan serta kerajaan negeri Pulau Pinang.






