Kota Bharu: Laluan FT008, Seksyen 348.10 hingga 350.20 Jalan Gua Musang-Kota Bharu, yang melalui Bypass Kweng Hitam, Machang, dijadualkan dibuka semula kepada semua jenis kenderaan bermula pada 12 tengah hari esok.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Jajahan Machang dalam kenyataan hari ini memaklumkan laluan itu dibuka bagi kedua-dua arah, membolehkan pergerakan dari Kota Bharu ke Gua Musang dan sebaliknya.
“JKR juga menekankan beberapa peraturan keselamatan yang perlu dipatuhi pengguna jalan raya.
“Had laju maksimum ditetapkan pada 30 kilometer sejam manakala had muatan kenderaan ialah 40 tan. Semua kenderaan dilarang berhenti di atas jambatan sementara Bailey bagi mengelakkan risiko terhadap struktur jambatan,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan dengan itu, orang ramai yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi Pejabat JKR Jajahan Machang menerusi talian 09-9752040.
Pada 15 September lepas, Jalan Persekutuan FT008, Seksyen 348.10 hingga 350.20 yang menghubungkan Gua Musang dengan Kota Bharu ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan berikutan rekahan jalan yang semakin teruk akibat mendapan (sinkhole) yang dikhuatiri membahayakan keselamatan pengguna.
© New Straits Times Press (M) Bhd