“Langkah Seterusnya Kuota BUDI95 150 Liter Sebulan,” – Chin Tong

“Langkah Seterusnya Kuota BUDI95 150 Liter Sebulan,” – Chin Tong


Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mengurangkan lagi kuota penggunaan petrol RON95 di bawah program BUDI95 kepada 150 liter sebulan bagi memastikan bekalan bahan api negara terus mencukupi dalam keadaan pasaran global tak menentu.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, cadangan itu boleh dilaksanakan kerana program BUDI95 membolehkan kerajaan memantau data penggunaan rakyat secara lebih terperinci dan fleksibel.

Namun beliau tidak menyatakan bila perkara itu akan dikuatkuasakan.

Ketika ini, kuota penggunaan BUDI95 ditetapkan pada 200 liter sebulan selepas dikurangkan daripada 300 liter.

“Walaupun berlaku pengurangan, kesannya kepada majoriti rakyat didapati amat minimum apabila data menunjukkan kira-kira 80 peratus rakyat Malaysia menggunakan kurang daripada 200 liter petrol sebulan.

“Langkah seterusnya ialah 150 liter. Sebanyak 60 peratus daripada populasi menggunakan kurang daripada 150 liter. Malah, 50 peratus daripada populasi menggunakan kurang daripada 100 liter,” katanya dalam laporan Berita Harian.

Beliau berkata demikian pada sesi ‘Fireside Chat’ bertajuk ‘Malaysia’s Response to Global Energy Crisis: Build Back Better’ sempena program ‘AFFIN Market Outlook Conference: Propelling Malaysia Forward 2026’ di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Chin Tong, pengurangan penggunaan bahan api penting bagi memastikan bekalan petrol dapat diagihkan secara konsisten kepada rakyat walaupun dalam keadaan pasaran global tidak menentu.

Katanya, kerajaan juga mahu memastikan golongan berpendapatan rendah dan pengguna motosikal terus menerima perlindungan subsidi kerana kumpulan itu paling terkesan jika harga bahan api meningkat mendadak.

Beliau berkata, kebanyakan pengguna motosikal hanya menggunakan sekitar 50 liter petrol sebulan dan perlu terus menikmati subsidi tinggi bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup selain menjaga kestabilan sosial negara.

Baru-baru ini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu kerajaan pada dasarnya bersetuju untuk menyemak semula pemberian subsidi minyak yang ketika ini turut dinikmati golongan berpendapatan tinggi, namun mekanisme pelaksanaannya masih diperhalusi bagi mengelakkan kesan kepada kelas menengah atasan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata cadangan itu sedang diteliti Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK) di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dipengerusikan Tan Sri Mohd Hassan Marican.

Jelas beliau, langkah itu dipertimbangkan kerana kerajaan mahu memastikan penyasaran subsidi dilakukan secara lebih adil tanpa membebankan kumpulan tertentu






Source link

OR

Scroll to Top