Lapan PATI dicekup menyorok dalam semak, tak sempat kerja di KL

Lapan PATI dicekup menyorok dalam semak, tak sempat kerja di KL


PASIR PUTEH: Hasrat lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar termasuk tiga wanita bekerja di ibu negara berkecai selepas mereka dicekup Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan sebaik sahaja mendarat dengan menaiki bot di tebing Sungai Kampung Pasir Pekan Hilir, Tumpat dekat sini, Rabu lalu.

Semua PATI yang berusia dalam lingkungan 18 tahun hingga 51 tahun itu ditahan ketika sedang bersembunyi di kawasan semak di tebing sungai berkenaan.

Pengarah Maritim Kelantan, Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata, anggotanya yang menjalankan rondaan menerusi Op Naga, Op Damai, Op Pelantar Merah dan Op Tiris mengesan pergerakan sebuah bot dari perairan Kuala Besar menuju ke Kota Bharu kira-kira pukul 11.47 malam.

Katanya, bot dan tekong sempat meloloskan diri dengan meredah air sungai yang cetek sehingga menyukarkan pergerakan bot peronda Maritim Malaysia.

“Operasi pencarian diteruskan sebelum anggota mendapati bot itu merapat ke tebing Sungai Kampung Pasir Pekan Hilir, Tumpat dipercayai telah menurunkan PATI kira-kira pukul 12.20 tengah malam.

“Pemeriksaan di kawasan itu membawa kepada penemuan lapan PATI yang bersembunyi di dalam semak. Semua individu terbabit gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai memasuki negara ini secara haram,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Tok Bali, di sini hari ini.

Kamal berkata, siasatan lanjut mendapati, semua PATI dipercayai membayar sebanyak RM6,000 setiap orang kepada sindiket untuk membawa mereka masuk secara haram ke negara ini melalui jalan laut.

Katanya, mereka juga dijanjikan untuk bekerja  dalam sektor perkilangan dan kedai makan di Kuala Lumpur.

“Semua PATI ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya. – UTUSAN

 



Source link

OR

Scroll to Top