PM mahu bangun projek perumahan rakyat berdekatan perkhidmatan tren LRT

PM mahu bangun projek perumahan rakyat berdekatan perkhidmatan tren LRT


fahmy.azril@bh.com.my

Klang: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu tapak lapang di sekitar atau berhampiran kawasan perkhidmatan kemudahan tren seperti Transit Aliran Ringan (LRT) dibangunkan dengan projek perumahan rakyat.

Beliau berkata, ia antara langkah yang boleh dipertimbangkan untuk bukan saja membantu rakyat memiliki rumah tetapi juga menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, sekali gus mengoptimumkan perkhidmatan itu.

Dengan konsep perumahan berhampiran fasiliti itu, beliau percaya ia dapat mengurangkan kesesakan jalan raya dan kos sara hidup selain menyumbang kepada pengurangan karbon.

“Saya tertarik dengan (cadangan) Menteri Pengangkutan Anthony Loke bahawa kawasan luas seperti itu (berhampiran stesen LRT)… Kita tengok (ada) parkir besar perlu dimanfaatkan.

“Di Kuala Lumpur, sudah ada rancangan kawasan mana stesen MRT besar patut dibangunkan di situ (tetapi) tertakluk syarat ketat pembangunan kawasan itu.(Apabila) Kawasan itu dinaikkan (dibangunkan) (lot) parkir (mestilah) cukup, (disediakan) perumahan rakyat.

“Saya tak fikir perumahan lima bintang, tentunya (di situ ada disediakan) kedai-kedai tingkat sederhana, rendah untuk manfaat rakyat.

“Laluan (Shah Alam) ini antara paling sesak dalam negara. Kemudian bila sesak (berlaku) pelepasan karbon tinggi. Bila sesak maknanya tempoh ambil masa (bergerak), minyak (banyak) digunakan karbon untuk dikeluarkan itu semua. Itu semua bebanan kepada ekosistem, persekitaran negara,” katanya ketika berucap melancarkan Laluan Shah Alam di Depoh LRT Johan Setia, di sini, hari ini.

Untuk merealisasikan hasrat itu, Anwar turut meminta Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan (MOT) Jana Santhiran Munaiyan dan pihak Kementerian Kewangan (MOF) termasuk Prasarana agar menyegerakan urusan itu.

Pada masa sama, beliau mahu kerajaan Selangor dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk bersama membantu memudahkan proses kelulusan supaya projek seperti diminta dapat dimulakan sesegera mungkin.

“Walaupun tanah milik Prasarana, saya berasakan pihak Lembaga Prasarana teliti hal ini. Kawasan luas jangan dibazirkan. Penting untuk bangunkan (cukup kemudahan seperti) parkir, kedai, untuk peniaga kecil dan perumahan rakyat.

“Jadi saya percaya, Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Amirudin Shari) dan majlis perbandaran akan beri kerjasama, akan laksanakan (tugas) dengan cekap.

“Saya tidak mahu dua bulan jadi lapan bulan. Kalau ikut kaedah biasa minimum lapan hingga (boleh jadi) 10 bulan (prosesnya).

“Tapi bila kita tegaskan dan arah pelaksanaan segera, ia boleh selesai (dalam tempoh) satu setengah bulan. Macam di Pulau Pinang, bincang projek perumahan dengan Ketua Menteri (Chon Kow Yeow) boleh (beri) kelulusan dengan syarat itu dikemukakan dalam tempoh hanya satu bulan boleh dilakukan.

“Kalau nak tunggu rumah siap satu beban. Kalau boleh tingkatkan kecekapan (kelulusan), tingkat keselesaan kepada ratusan ribu (rakyat).

“Jangan terlalu birokratif, jangan curi wang, jangan sakau dan jangan ambil komisen bukan hak kita. Kalau boleh pastikan semua tahap kecekapan itu baik, tiada masalah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top