July 27, 2024

Lapangan terbang antarabangsa baharu akan dibina di Kuching

Lapangan terbang antarabangsa baharu akan dibina di Kuching



mdroji@bh.com.my

Kuching: Sebuah lapangan terbang antarabangsa baharu akan dibina di sini bagi menyokong industri penerbangan yang semakin berkembang di Sarawak.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) kini semakin sesak menyebabkan kemudahan sedia ada tidak mampu menampung keperluan penumpang yang bertambah.

Menurutnya, pembinaan lapangan terbang baharu juga selaras dengan hasrat kerajaan Sarawak untuk menjadikan Kuching sebagai hab penerbangan serantau.

“Trafik udara di Kuching sekarang semakin bertambah dan bangunan terminal sedia ada tidak mempunyai kemudahan mencukupi untuk menampung pertambahan penumpang.

“Sebab itu, sudah sampai masanya kita membangunkan lapangan terbang baharu, tambahan pula kita menetapkan matlamat menjadikan Kuching sebagai hab penerbangan bukan sahaja untuk penumpang tetapi juga untuk hab kargo kerana kita juga sudah ada hab pelabuhan,” katanya ketika ditemui di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Abang Johari berkata, lokasi pembinaan lapangan terbang sudah dikenal pasti dan beliau akan mengumumkannya dalam masa terdekat.

Mengenai dana untuk membina lapangan terbang itu, beliau berkata kerajaan Sarawak akan berbincang dengan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) sama ada pihak terbabit mahu menjadi rakan kongsi membangunkan projek berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top