FESTIVAL Larian Wanita Kuala Lumpur (KLWRF) 2026 tampil dengan pendekatan berbeza apabila memberi ruang khusus kepada wanita menikmati pengalaman larian dalam suasana santai, selesa dan tanpa tekanan persaingan.
Bakal berlangsung di Dataran Merdeka pada 18 Oktober depan, acara sulung berkenaan menawarkan tiga kategori iaitu 5 kilometer (km), 10km dan 15km, dengan lebih 7,000 peserta sudah mendaftar daripada sasaran 8,000 orang.
Ketua Pegawai Eksekutif SCORE Sports Management, Patricia Tan berkata, KLWRF diwujudkan bagi memastikan wanita tidak perlu menjadi pelari berpengalaman atau memiliki tahap kecergasan tertentu untuk mengambil bahagian.
“Apabila kami mula berbincang mengenai KLWRF, kami tidak mahu mencipta satu lagi perlumbaan biasa. Kami mahu wanita hadir tanpa merasakan mereka perlu menjadi pelari berpengalaman atau berlari pada tahap tertentu untuk menjadi sebahagian daripadanya,” katanya.
Menurut Patricia, festival itu turut memberi peluang kepada wanita memperuntukkan masa untuk diri sendiri selepas sekian lama sibuk menguruskan keperluan orang lain.
“Kami mahu mereka mula menjaga diri mereka sendiri dan berseronok bersama rakan-rakan,” katanya.
Penyertaan larian yang dibuka eksklusif kepada wanita itu juga menyediakan ruang untuk mereka berlari, berjalan atau berjoging bersama rakan dan ahli keluarga wanita tanpa tekanan untuk bersaing.
“Kadang-kala, wanita hanya mahukan ruang mereka sendiri, berada bersama rakan-rakan wanita atau anak perempuan mereka, berkongsi rahsia, dan meluangkan masa bersama. Ini memang dikhususkan untuk mereka,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Guardian Malaysia dan Brunei, Priscilla Wu berkata, pendekatan KLWRF selari dengan usaha menggalakkan wanita memberi lebih perhatian kepada aspek kesihatan dan kesejahteraan diri.
Selain larian, penganjur turut menyediakan klinik larian dan bengkel kesejahteraan khusus wanita sebelum hari acara, manakala kawasan Race Village dibuka kepada keluarga dan rakan peserta termasuk lelaki.
