SHAH ALAM: Latihan secara berasingan nyata bukan penghalang gandingan penerjun Sarawak, Nur Eilisha Rania Abrar Raj dan Nurul Farisya Alia Affendi mempertahankan pingat emas acara terjun seirama 10 meter (m) platform wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, semalam.
Eilisha yang menjalani latihan bersama skuad kebangsaan, manakala Farisya berlatih di Sarawak, hanya mempunyai masa terhad untuk melakukan latihan bersama menjelang temasya itu.
Malah, kedua-duanya hanya sempat berlatih bersama dua atau tiga kali dalam tempoh tiga bulan terakhir, namun keserasian yang telah dibina sebelum ini menjadi kunci kejayaan mereka mengekalkan emas.
Gandingan Sarawak itu mengumpul 259.74 mata untuk muncul juara manakala pasangan Perak, Siti Nurul Jannah Malik-Trisya Ann Voon meraih perak dengan 216.18 mata.
Dua penerjun cilik Pahang, Noor Qaisara Dayana Saiful Nizam, dan Nur Aisy’ Innara Amir Hafiz, 12 melakar kejutan menghadiahkan gangsa pada penampilan sulung mereka di SUKMA selepas mengumpul 215.94 mata.
Eilisha berkata, keterbatasan masa untuk berlatih bersama tidak menjejaskan persefahaman mereka ketika melakukan terjunan.
“Kami berlatih secara berasingan. Saya bersama pasukan kebangsaan, manakala Farisya berlatih di Sarawak. Jadi, masa untuk berlatih bersama memang terhad, tetapi alhamdulillah kami masih mempunyai keserasian yang sudah terbina sejak sebelum ini.
“Dalam tempoh tiga bulan kebelakangan ini, kami hanya sempat berlatih bersama dua atau tiga kali sahaja,” katanya.
Kejayaan itu cukup bermakna buat Eilisha yang menganggap SUKMA Selangor sebagai penampilan terakhirnya, selain menjadi hadiah buat keluarga dan barisan jurulatih yang banyak membantunya.
“Pingat emas ini saya dedikasikan kepada keluarga, jurulatih dan diri sendiri kerana ini merupakan Sukma terakhir saya. Jadi, saya memang mahu berjuang untuk mendapatkan pingat emas dalam acara ini,” katanya.
Bagi Farisya pula, kejayaan itu didedikasikan kepada arwah neneknya yang meninggal dunia dua tahun lalu.
“Saya hadiahkan emas ini kepada nenek saya sebab hari lahirnya semalam. Dia sudah meninggal dunia dua tahun lalu,” katanya. – UTUSAN
