am@hmetro.com.my
Setiu: Penemuan kesan tapak kaki gajah di jalan yang baru ditambak berhampiran kawasan kampung menimbulkan kebimbangan terhadap penduduk Felda Chalok Rahmat, di sini, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Seri Rahmat, Nordin Jusoh berkata, kewujudan haiwan berkenaan disedari penduduk selepas mereka menemukan kesan tapak kaki gajah berkenaan.
Katanya, ini kejadian kedua berlaku di kawasan berkenaan dan mereka mengesyaki gajah itu tersesat selepas terkeluar dari kawasan hutan.
“Kita sudah buat aduan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan diharapkan masalah ini dapat diambil tindakan segera,” katanya ketika ditemui di Felda Chalok Kampung Rahmat di sini, petang semalam.
Sementara itu, seorang penduduk, Khairuddin Mohamad, 42, berkata, dia menyedari kehadiran haiwan itu apabila pulang dari tempat kerja kira-kira 5.30 petang kelmarin.
Katanya, dia terkejut apabila menyedari seekor gajah liar berada berhampiran rumahnya.
“Saya sudah menetap di kampung ini kira-kira 11 tahun, ini adalah kejadian pertama berlaku di kawasan rumah.
“Saya hanya tengok dari rumah dan tidak cuba menghalau atau memprovokasi gajah itu kerana bimbang berlaku perkara tidak diingini,” katanya.
Katanya, sejak kejadian itu, dia tidak membenarkan anak-anak bermain di luar rumah kerana takut jika gajah itu masih berada di kawasan sekitar.
“Gajah berkenaan juga turut merosakkan pokok kelapa dan tanaman ubi kayu di kawasan berhampiran pagar rumah,” katanya.
Sementara itu Pengarah Perhilitan Terengganu, Dennis Ten Choon Yung berkata, siasatan dilakukan selepas laporan diterima dan sepasukan anggota digerakkan ke lokasi bagi tindakan sewajarnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
