PETALING JAYA: Penyanyi, Layla Sania menafikan dakwaan segelintir pihak di media sosial yang mengatakan lagu Raya Berseri nyanyiannya bersama Perry Kuan dihasilkan sepenuhnya menggunakan janaan kecerdasan buatan (AI).
Menurut Layla atau Layla Sania Khairuzikri, 23, idea serta penceritaan dalam lirik lagu raya tersebut lahir daripada dirinya sendiri bersama bapanya.
“Lagu itu saya hasilkan bersama bapa. Jadi idea, inspirasi, cerita dan pengalaman semuanya datang daripada diri kami sendiri.
“Cuma dari segi penulisan lirik, kalau mahu mencari perkataan yang sesuai, memang saya ada meminta bantuan AI untuk menambah mana yang kurang atau menyemak struktur ayat. Tetapi bukanlah lagu itu dibuat sepenuhnya oleh AI,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Tambahnya, teknologi berkenaan sekadar digunakan sebagai rujukan, ibarat kamus yang membantu memperkemaskan penggunaan bahasa.
“AI ibarat kamus bagi saya. Mungkin penggunaan bahasa saya juga banyak dipengaruhi bahasa Mandarin, jadi ada masanya pendengar merasakan lirik kedengaran sedikit janggal,” jelasnya.
Pada masa sama, Layla mengakui karya tersebut merupakan percubaan pertamanya menulis lirik dalam bahasa Melayu dan beliau terbuka menerima sebarang pandangan daripada pendengar.
“Saya sangat menghargai setiap pandangan atau kritikan, sama ada positif atau sebaliknya. Perkara itu membantu saya berkembang sebagai artis dan pembuat lagu.
“Pada masa sama, saya fikir tidak menjadi masalah jika sesiapa menggunakan bantuan teknologi kerana ia memang sudah wujud. Kita gunakannya sebagai panduan dan alat inspirasi, jadi saya rasa tiada apa-apa yang salah dengannya,” katanya.
Terdahulu, beberapa individu di media sosial mendakwa lagu Raya Berseri dihasilkan menggunakan janaan AI berdasarkan pemilihan perkataan serta rentak lagu yang didakwa kedengaran janggal. -UTUSAN






