Kuala Lumpur: LBS Bina Group Bhd (LBS), pemaju hartanah terkemuka pilihan rakyat, menutup tirai 2025 sebagai tahun pertama pelaksanaan Strategi 8 x 8 dengan meraih pelbagai pencapaian strategik utama, yang memperkukuh asas pertumbuhan jangka panjangnya,
Dengan berpaksikan jenama terasnya, ‘Building Tomorrow Together,’ LBS telah mengamalkan pendekatan pelaksanaan yang lebih berfokus, terpilih dan dipacu oleh peluang dalam perancangannya.
Sepanjang tahun 2025, LBS memberi tumpuan untuk memperkukuh asas pembangunan jangka panjangnya melalui pelaksanaan inisiatif strategik terpilih.
LBS berkata, kumpulan telah memperoleh hak pembangunan di Kwasa Damansara, sekali gus meningkatkan keterlihatan simpanan tanah, sekali gus mendorong kemajuan di salah sebuah perbandaran bersepadu yang pesat membangun di Lembah Klang.
“Kelulusan pemegang saham bagi pembangunan utama di Kwasa Damansara telah diperolehi di Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang diadakan pada 5 Disember lalu, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam pelaksanaan strategi pembangunan Kumpulan yang berperingkat,” katanya.
Selain itu, LBS juga telah memeterai dua Perjanjian Usahasama dengan Oriental Holdings Bhd bagi pembangunan bersama Fasa 1A dan Fasa 1B projek pembangunan bercampur bersepadu di Klebang, Melaka.
Kerjasama strategik itu mencerminkan pembabitan berterusan LBS dalam koridor pertumbuhan utama, selaras dengan model pembangunan jangka panjang di bawah Strategi 8 x 8.
Seiring itu, LBS terus mengutamakan pengoptimuman simpanan tanah dan kecekapan modal sebagai teras utama kepada fleksibiliti kewangan.
Pada November 2025, LBS berjaya meraih dana melalui jualan tanah seluas 0.809 hektar di Johor Bahru pada harga RM110 juta, sekali gus mengukuhkan daya tahan kunci kira-kira serta meningkatkan keupayaan kumpulan untuk bertindak balas terhadap peluang penjanaan nilai.
“LBS terus memperkukuh komitmennya terhadap pertumbuhan yang bertanggungjawab dan lestari dengan mencapai penarafan FTSE4Good 4.1, yang mencerminkan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang kukuh,” katanya.
Antara inisiatif utama termasuk penerbitan program Sukuk Wakalah, dengan hasil terbitan akan diguna selaras dengan Rangka Kerja Pembiayaan Mampan LBS, sekali gus mengukuhkan komitmen LBS terhadap pembiayaan bertanggungjawab dan pertumbuhan inklusif.
Kumpulan juga telah menerima pelbagai anugerah yang mengiktiraf kecemerlangan peringkat pertama terbitan Sukuk Wakalah berkenaan.
Tahun lalu, LBS telah meraih pencapaian Piawaian Emas buat kali pertama, menandakan pengiktirafan selama empat tahun berturut-turut di bawah program Syarikat Terurus Terbaik oleh Deloitte Private.
Selain itu, sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan yang cemerlang, Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Ir Dr Lim Hock San, telah dianugerahkan Anugerah Usahawan Hartanah Cemerlang The Edge Malaysia 2025.
LBS turut menerima Anugerah Pilihan Industri Business Today bagi kategori Pembangunan Berteraskan Komuniti Terbaik, mencerminkan kepimpinan konsisten Kumpulan, kecemerlangan operasi serta komitmen berterusan dalam menyampaikan nilai jangka panjang
Melangkah ke hadapan, LBS kekal optimis terhadap pasaran hartanah tahun ini, yang dijangka kekal positif dan berdaya tahan, disokong oleh permintaan yang kukuh.
“Kumpulan berharap projek dan inisiatif pembangunan strategik kami akan terus menyumbang kepada momentum ekonomi negara, selaras dengan usaha menyokong pertumbuhan serta meningkatkan taraf hidup di seluruh komuniti.
Mengulas mengenai pencapaian LBS, Hock San berkata, 2025 menjadi tahun yang penting dalam meletakkan asas bagi Strategi 8 x 8 kumpulan.
“Menyusuri ke 2026, tumpuan kami kekal pada pelaksanaan peluang yang selaras dengan visi jangka panjang, pengoptimuman aset tanah, serta pengukuhan perbandaran utama kami.
“LBS akan terus berkembang secara bertanggungjawab, dipandu oleh permintaan pasaran dan pertimbangan kelestarian untuk semua pihak berkepentingan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






