Lebih 200,000 kes sekatan ke luar negara terhadap individu, syarikat

Lebih 200,000 kes sekatan ke luar negara terhadap individu, syarikat



mahaizura@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Sebanyak 203,123 kes sekatan perjalanan ke luar negara dikenakan terhadap individu dan syarikat di negara ini berikutan tidak melunaskan cukai masing-masing.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, sekatan dikenakan sehingga 30 November lalu itu diambil mengikut Seksyen 104 dan 75A Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 dan Seksyen 22 Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah (ACKHT) 1976.

Menurutnya, HASiL diberi kuasa untuk menghalang mana-mana individu daripada meninggalkan Malaysia jika mereka atau syarikat mereka mempunyai tunggakan cukai yang tidak dijelaskan kepada kerajaan.

“Daripada jumlah itu, seramai 175,656 orang disekat berdasarkan Seksyen 104 ACP 1967 (individu).

“Sebanyak 15,070 syarikat pula disekat di bawah Seksyen 75A 1976, manakala 12,205 individu disekat berdasarkan Seksyen22 ACKHT 1976.

“Selain itu, 192 syarikat disekat di bawah Seksyen 22 Subperenggan 5(1A) ACKHT 1976,” katanya.

Menurut HASiL, sekatan perjalanan adalah tindakan terakhir boleh dikenakan sekiranya pembayar cukai masih gagal membuat bayaran terhadap baki cukai yang tertunggak selepas pelbagai peringatan dan notis diberikan.

“Seiring dengan trend terkini masyarakat Malaysia yang gemar melancong ke luar negara atau mengerjakan ibadah, HASiL menyarankan pembayar cukai agar menyemak status tunggakan cukai dan sekatan perjalanan masing-masing sebelum merancang sebarang perjalanan ke luar negara.

“HASiL juga ingin menjelaskan, tindakan sekatan perjalanan ke luar negara terhadap mana-mana pihak bukan bertujuan menafikan hak mereka, tetapi salah satu usaha untuk menguatkuasakan undang-undang percukaian sedia ada kepada pembayar cukai yang gagal melunaskan tunggakan cukai.

“Justeru, pembayar cukai perlu sentiasa peka dalam melaksanakan tanggungjawab mereka dan jangan bertangguh dalam menyelesaikan hal percukaian bagi mengelakkan sebarang kesulitan pada masa hadapan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top