Hantaran Tunku Mahkota Ismail di laman sosial Instagram mengenai perkara berkenaan.
[DIKEMAS KINI] PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menzahirkan ucapan terima kasih kepada lebih 23,000 penonton yang hadir di Stadium Sultan Ibrahim sempena aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia pada Sabtu.
Malah, kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia buat kali keempat berturut-turut nyata menggembirakan baginda.
Malah Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik JDT itu teruja apabila semangat pemburuan kejuaraan dipamerkan skuad kendalian Hector Bidoglio dengan konsisten.
“(Pemburuan trofi) masih lagi membara. Terima kasih kepada 23,000 penonton yang hadir pada hari ini. Alhamdulillah, satu lagi final buat JDT,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial Instagram miliknya.
Harimau Selatan sebelum itu mara ke perlawanan akhir setelah mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Terengganu FC pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Sabtu.
Skuad bimbingan Hector Bidoglio membawa bekalan selesa 4-0 daripada aksi separuh akhir pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, pada 17 Januari lalu sekaligus mara ke final dengan agregat 6-1
Harimau Selatan akan berdepan pemenang satu lagi aksi separuh akhir Sri Pahang menentang Sabah FC di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, Pahang, malam ini sebagai lawan di final yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 26 April depan.