Lebih 293,000 individu pelbagai sektor hilang pekerjaan

Lebih 293,000 individu pelbagai sektor hilang pekerjaan


KUALA LUMPUR – Seramai 293,639 individu daripada pelbagai sektor direkodkan telah kehilangan pekerjaan antara tempoh 2020 hingga 27 September lalu.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, industri paling terjejas adalah sektor pembuatan dengan 75,615 individu kehilangan kerja dalam tempoh sama.

“Ia diikuti sektor perdagangan borong dan runcit (43,614), aktiviti profesional, saintifik dan teknikal (23,907), teknologi maklumat dan komunikasi (19,931), penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan serta minuman (23,124), pembinaan (21,233), pengangkutan (20,953) dan lain-lain (65,262),” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) berhubung program latihan kemahiran yang dirancang oleh kementerian untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan dan pekerja tempatan dalam sektor teknologi dan industri 4.0.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, berdasarkan statistik Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), sebanyak 575,044 pencari kerja aktif direkodkan dari Januari hingga 27 September 2024 di Portal MYFutureJobs, berbanding 125,956 kekosongan jawatan yang diiklankan.

Katanya, bagi menangani cabaran guna tenaga tidak penuh, terutamanya bagi graduan baharu dan pekerja tempatan, pelbagai program diperkenalkan antaranya Program Latihan di bawah Sistem Insurans Pekerjaan.

“Selain itu, kementerian turut memperkenalkan Skim Latihan Bakal Pekerja (FWT), Kursus Berfokuskan Industri 4.0 dan Kerjasama Strategik dan Pusat Teknologi.

“Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) komited memastikan graduan dan pekerja tempatan mampu menghadapi cabaran ekonomi masa hadapan dengan kemahiran yang diperlukan, terutamanya dalam sektor teknologi dan Industri 4.0 termasuk automasi dan kecerdasan buatan yang berkembang pesat,” tambahnya. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top