Lebih 500 hadir aksi pembukaan Piala Dunia 2026 di Angkasapuri

Lebih 500 hadir aksi pembukaan Piala Dunia 2026 di Angkasapuri


sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur:Lebih 500 penyokong tegar bola sepak hadir memeriahkan suasana menonton siaran langsung perlawanan pembukaan Kumpulan A Piala Dunia 2026 antara Mexico dan Afrika Selatan di perkarangan Angkasapuri, Kota Media.

Meskipun perlawanan pertama berlangsung pada jam 3 pagi, orang ramai mula hadir seawal 12 tengah malam untuk memeriahkan suasana.

Pelbagai aktiviti interaktif dan pengisian menarik disediakan oleh rakan strategik serta penaja, termasuk 360 Photo Booth, street soccer, food truck, permainan santai dan kuiz.

Selain itu, kehadiran pelakon terkenal, Fattah Amin, turut mencuri perhatian apabila orang ramai tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengannya.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah; Ketua Pengarah Penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM), Ashwad Ismail; Duta Besar Mexico ke Malaysia, Luis Javier Campuzano; serta Charge d’Affaires Suruhanjaya Tinggi Afrika Selatan ke Malaysia, Aletta Maseko.

Untuk makluman, sebaik perlawanan pertama bermula, jumlah itu dijangka akan meningkat melebihi 1,000 pengunjung.

Sementara itu, personaliti TV RTM, Iffah Hazim turut meluahkan keterujaan untuk menyaksikan hari pertama kejohanan sambil menyifatkan suasana yang diwujudkan penganjur berjaya membangkitkan demam Piala Dunia dalam kalangan pengunjung.

“Saya memang tak sabar kerana ini hari pertama kejohanan dan sudah tentu ramai yang teruja untuk melihat apa yang menarik sepanjang Piala Dunia kali ini.

“Aura dan hype Piala Dunia memang terasa, ditambah pula dengan suasana meriah, aktiviti menarik serta gerai dan booth yang membuatkan pengunjung lebih menikmati pengalaman ini,” katanya yang memilih Mexico menang 2-1 ke atas Afrika Selatan.

Selain itu, Nik Syafiq Hadhari mengakui tidak sabar untuk menyaksikan majlis pembukaan dan aksi pertama kejohanan yang dianggap paling dinantikan peminat bola sepak seluruh dunia itu.

“Saya memang tak sabar nak tengok majlis pembukaan dan perlawanan pertama. Walaupun kena berjaga malam, itu bukan masalah kerana ini adalah Piala Dunia.

“Suasana di sini pun cukup meriah dengan pelbagai aktiviti dan siaran langsung di grandstand yang benar-benar menaikkan lagi mood Piala Dunia. Saya ramalkan Mexico akan menang 3-1,” katanya yang akan menjadi sebahagian daripada barisan pengacara siaran langsung edisi kali ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top