Lee Cronin’s The Mummy : Pembuka naskhah horror yang menjadi

Lee Cronin’s The Mummy : Pembuka naskhah horror yang menjadi


ADA sebuah kepercayaan lama dalam masyarakat Arab bernama Tiayarah, iaitu mempercayai burung boleh memberikan petanda apakah nasib kita baik atau sial berdasarkan bunyi atau atau arah terbangnya. Selalunya jika ada burung mati jika mereka melakukan perjalanan atau mahu melakukan sesuatu, mereka akan segera menghentikan keinginan tersebut.

Namun, ketika Layla melihat burung kesayangannya mati, dia tahu bahawa hidupnya dan keluarga akan segera berubah apabila makhluk yang disembunyikannya dalam sarkofagus iaitu peti purba yang menyimpan jenazah (mungkin sering diingatkan oleh keturunannya) menuntut masa untuk kembali. Filem Lee Cronin’s The Mummy kemudian beralih kepada karakter utama Charlie Cannon dan Larissa, sebuah keluarga bahagia yang mempunyai dua orang anak.

Plot kemudian berkembang apabila anaknya, Katie hilang setelah Layla menculiknya. Masing-masing tidak tahu apa dan mengapa anaknya itu diculik kerana mereka tidak pernah menyakiti sesiapa. Selama lapan tahun, Larissa dan Charlie cuba hidup dengan menerima kehilangan anaknya itu. Bagaimanapun, satu panggilan telefon dari kedutaan Arab memberi harapan baharu mengatakan anaknya itu telah ditemui.

Baik, kita pernah menonton banyak versi The Mummy sejak 1999, paling popular semestinya yang dilakonkan Brendan Fraser. Namun dalam versi Lee Cronin, saya melihat filem ini mengekalkan penampilan sebuah ‘mumia’ dengan lingkaran balutan, kuku hitam, kulit rapuh sekali gus menampilkan dengan jelas teknik awetan Mesir kuno bagi melindungi binatang dan mayat daripada mereput.

Kesan-kesan itu dapat kita perhatikan dengan penampilan Katie setelah ‘kepulangannya’, saiz tubuhnya masih sama tetapi kulitnya melebam ada luka-luka, kuku tajam, rambut panjang, tidak boleh bercakap.

Doktor mengatakan kanak-kanak itu aneh kerana kekurangan nutrisi, juga melalui kesan trauma mengakibatkannya lemah dan tidak berupaya berbicara. Kasih sayang Larissa dan Charlie diharap dapat menjadi ubat paling kuat untuk memulihkan Katie.

Namun, tiada siapa menduga, membawa ‘Katie’ ke rumah rupanya sama dengan menjemput sial kerana lembaga yang paling ditakuti dalam tradisi purba Mesir sudah pun tinggal di tubuh kanak-kanak itu.

Hal ini berbeza dengan kebanyakan filem hantu Hollywood yang semakin hari semakin membosankan apabila kebanyakan menggunakan formula keluarga dirasuk apabila berpindah ke rumah baharu.

Tapi dalam filem ini, mereka yang menjemput lembaga ini ke rumah mengakibatkan lebih banyak episod menyeramkan dan merungkai perkara lebih besar yang tidak pernah disangka.

Dr. Bixler sedikit sebanyak memberi pencerahan bahawa makhluk yang ada di tubuh Katie bukan jembalang biasa, tetapi ‘makhluk’ yang wujud ribuan tahun lalu, Nesperiania bahkan sebelum kelahiran Nabi Isa berdasarkan kepada penemuan tulisan arab purba, hieratic. Makhluk itu dikatakan bergerak seperti bayang-bayang, berpindah dari satu tubuh ke tubuh lain untuk menghancurkan keluarga. Namun ia kemudian hilang begitu sahaja sekitar 2000 BC.

Makhluk itu disembah oleh puak bernama Nasperanian yang percaya makhluk itu perlu dipuja dengan memberikan nyawa kanak-kanak tidak bersalah. Melalui video dirakam Layla, mereka percaya kanak-kanak yang tidak bersama seperti Katie adalah persembahan paling bagus diberikan kepada Nasperia kerana mereka akan kekal lebih lama.

Selepas memasuki tubuh Katie, makhluk ini mengganas apabila membunuh ahli keluarga dan pelbagai aksi ngeri dari sekecil organ seperti lidah, gigi, hingga tubuh nenek yang dimakan anjing liar.

Mungkin ada yang mengatakan filem ini biasa sahaja kerana bergantung kepada aksi-aksi ngeri dan tidak selesa.

Namun bagi saya, tiada masalah kerana horror atau seram tidak hanya hadir dengan kejutan. Tetapi juga seberapa kuat mereka mencengkam dan menghadirkan rasa tidak selesa kepada penonton.

Saya tetap menganggap pendekatan ini menjadi kerana beberapa kali juga saya berasa jijik dengan adegan yang diciptakan mereka dalam naskhah ini.
Demi menyelamatkan Katie, Charlie perlu berkorban diri.

Namun penamat naskhah ini boleh tahan menarik apabila mereka seolah-olah memulangkan derita kepada yang menciptakan derita. Bagi mengelakkan spoiler, saya mencadangkan penonton untuk menontonnya ke panggung untuk memahami lebih dalam apa yang saya tuliskan.



Source link

OR

Scroll to Top