am@hmetro.com.my
Dungun: Lelaki yang hilang ketika mencari kayu gaharu di hutan simpan Bukit Bauk di Kampung Serdang dekat sini mendakwa tidak menemui jalan pulang.
Perkara itu dikongsi Azman Abdul Wahab, 36, berdasarkan perbualannya bersama mangsa, Mohd Nawi Ismail, 55, melalui panggilan telefon, sebelum lelaki itu disedari tersesat.
Menurut Azman, mereka masuk ke hutan bertiga bersama Surini Ismail, 42, yang juga adik kepada Mohd Nawi kira-kira jam 10 pagi Jumaat lalu, sebelum bergerak pulang kira-kira jam 6 petang.
Ketika dalam perjalanan, katanya Mohd Nawi berada paling belakang dalam jarak kira-kira 30 meter (m).
“Selepas menyusuri alur sungai dalam jarak satu kilometer untuk sampai ke jalan utama, dia (Mohd Nawi) masih di belakang kami, namun sebaik tiba di jalan utama dia tiba-tiba tiada.
“Saya hubungi dan dia kata masih ada di kawasan alur sungai. Puas kami tunggu sebelum akhirnya ambil keputusan kembali ke kawasan itu, namun gagal menemuinya,” katanya.
Menurut Azman, dia keluar semula dan menghubungi sekali lagi Mohd Nawi dan ketika itu rakannya itu memaklumkan tak jumpa jalan keluar.
“Saya dan Surini mula bimbang dan balik ke rumah untuk mengambil lampu suluh, sebelum masuk semula ke sana kira-kira jam 8 malam untuk mencarinya, namun masih gagal,” katanya.
Keesokannya Azman menghubungi Mohd Nawi dan mangsa tetap memaklumkan berada di kawasan sama, namun dia tetap gagal ditemui.
“Setiap hari saya masuk mencarinya namun tidak berjaya dan hari ini, saya hubungi dia lagi namun gagal mungkin bateri telefonnya habis.
“Bimbang keselamatannya, adiknya mengambil keputusan pergi ke Balai Polis Dungun untuk membuat laporan,” katanya.
Menurut Azman, kali terakhir berbual, Mohd Nawi mendakwa berada di kawasan yang diliputi hutan tebal.
“Saya pelik kenapa dia gagal menemui jalan keluar sedangkan saya sudah banyak kali bersama dia keluar masuk ke hutan itu dengan menggunakan jalan yang sama.
“Dia ada maklum kelaparan pada hari kedua itu, namun saya minta dia bersabar kerana saya ada bawa bekalan untuknya… namun saya sedih kami gagal menemuinya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






