Lelaki Israel: Lagi suspek diburu polis

Lelaki Israel: Lagi suspek diburu polis


PETALING JAYA: Polis memburu beberapa suspek yang boleh membantu mengenal pasti motif sebenar lelaki Israel, Avitan Shalom yang berdepan dua pertuduhan membabitkan pemilikan senjata api.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, walaupun orang kena tuduh (OKT) telah pun dituduh atas pemilikan senjata api, namun siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti motif sebenar.

Ini kerana kata beliau, terdapat suspek yang masih belum ditangkap.

“Seramai tujuh daripada 13 individu yang ditahan sebelum ini masih dalam tahanan reman untuk siasatan lanjut.

“Enam orang lagi telah diberi jaminan polis sementara menunggu siasatan dilengkapkan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, pertuduhan ke atas lelaki Israel itu adalah bagi kesalahan yang tidak boleh dijamin yang mana jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup. 

“İni bermakna,OKT akan ditahan dalam penjara dan berada di bawah kawalan pihak Jabatan Penjara sehingga perbicaraan selesai,” jelasnya.

Terdahulu, Avitan mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan membabitkan pemilikan senjata api.

Mengikut pertuduhan, Avitan didakwa memiliki enam pucuk pistol dan 158 butir peluru di antara pukul 6.46 petang, 26 Mac lalu dan 6 petang 28 Mac lalu, di sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Seksyen 7(1) memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan sebatan minimum enam sebatan.

Seksyen 8(a) memperuntukan penjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-dua sekali.

Pada 27 Mac lalu, lelaki warga Israel ditahan bersama enam pucuk pistol jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger bersama 200 butir peluru yang diletakkan di dalam beg miliknya.

Hasil siasatan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Cawangan Khas (SB), mendapati lelaki tersebut memasuki negara ini pada 12 Mac lalu dengan menggunakan pasport Perancis menerusi penerbangan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Pada 8 April lalu, suri rumah, Sharifah Faraha Syed Husin dan suaminya, Abdul Azim Mohd Yasin didakwa di Mahkamah Sesyen Klang berhubung pemilikan pistol 9mm CZ 75.

Mereka ditahan di bazar Ramadan di Kuala Selangor pada 29 Mac lalu kerana disyaki menjual enam senjata api kepada lelaki Israel itu. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top