Lampung: Seorang lelaki maut selepas ditembak jirannya dalam kejadian yang dipercayai berpunca daripada pertikaian berkaitan pengedaran jemputan majlis berkhatan di Dusun 1, Desa Negri Agung, Kecamatan Gunung Pelindung, Lampung Timur, di Indonesia pada Khamis.
CNN Indonesia melaporkan, Mangsa, Pendi, 42, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di tembak pada kepala.
Berdasarkan siasatan polis, suspek, Andi Rustam atau dikenali sebagai Popon, sebelum itu meminta mangsa membantu mengedarkan kad jemputan majlis berkhatan anaknya yang dijadual berlangsung pada Selasa depan, 7 Julai.
Apabila lelaki itu bertanyakan perkembangan pengedaran jemputan itu, mangsa menjelaskan beliau menyerahkannya kepada seorang rakannya untuk membantu mengedarkannya kerana tidak boleh membaca.
Penjelasan itu dipercayai menyinggung perasaan suspek sehingga berlaku salah faham sebelum pertengkaran bertukar menjadi ganas apabila lelaki itu mengeluarkan sepucuk senjata api dan melepaskan tembakan ke arah mangsa.
Mangsa meninggal dunia akibat kehilangan darah yang banyak sebelum sempat menerima rawatan.
Selepas kejadian, suspek melarikan diri dari lokasi, manakala penduduk menghubungi Polis Sektor (Polsek) Gunung Pelindung.
Anggota polis dari Polsek Gunung Pelindung dan Ibu Pejabat Polis Daerah Lampung Timur kemudian menjalankan siasatan di lokasi, mengumpul bahan bukti, membawa mayat mangsa ke Hospital Bhayangkara Polis Daerah Lampung serta mengambil keterangan beberapa saksi.
Polis kini giat mengesan suspek selain meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan kejadian bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.
Saudara mangsa, Hasan, mengesahkan kejadian itu dan berkata beliau hanya dimaklumkan mengenainya kira-kira jam 1 tengah hari ketika berada di Bandar Lampung.
“Saya dimaklumkan oleh bapa saudara mangsa bahawa Pendi ditembak oleh Popon,” katanya.
Hasan berkata, berdasarkan maklumat yang diterimanya, pertikaian bermula apabila suspek bertanya sama ada jemputan sudah diedarkan, sebelum mangsa memaklumkan bahawa jemputan itu diserahkan kepada orang lain untuk diedarkan.
Beliau berkata, mangsa dan suspek sebenarnya masih mempunyai pertalian keluarga kerana isteri mangsa ialah sepupu kepada suspek.
Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Lampung Timur, AKP M Iksir, mengesahkan kejadian berkenaan namun berkata siasatan masih dijalankan.
Katanya, butiran lanjut mengenai kronologi dan motif sebenar hanya akan dimaklumkan selepas siasatan selesai.
© New Straits Times Press (M) Bhd






