Bangkok: Kepulangan lelaki Thailand ini mengejutkan keluarganya apabila dia muncul ketika mereka mengadakan majlis pengebumian untuknya.
Kekeliruan itu berpunca daripada kesilapan polis dalam mengenal pasti mayat individu lain.
Pada 18 Januari lalu, pegawai dari Balai Polis Borrabue menyiasat kematian seorang lelaki tidak dikenali yang disyaki meninggal dunia akibat cuaca sejuk.
Pegawai menyimpulkan, lelaki yang maut itu ialah Phet, penduduk daerah Sawang Dandin di Sakon Nakhon.
Mayat dipindahkan ke Hospital Khon Kaen untuk bedah siasat bagi mengesahkan identitinya dan punca kematiannya.
Selepas yakin dengan siasatan mereka, polis memaklumkan keluarga Phet mengenai kematiannya dan menggesa mereka bersedia untuk pengebumiannya sementara bedah siasat dijalankan.
Pada 20 Januari, mereka sekeluarga memulakan persiapan pengebumian di rumah mereka.
Adik Phet ke wilayah Khon Kaen untuk membuat susulan keputusan bedah siasat.
Adiknya mengingati Phet mempunyai tatu di belakangnya, tetapi badan mayat itu sebaliknya.
Tanpa diduga, semasa abangnya masih berada di hospital, dia menerima panggilan daripada keluarganya memaklumkan Phet baru pulang ke rumah, dalam keadaan hidup dan sihat.
Bapa mereka, Kaysorn, 66 tahun, memberitahu Sanook, Phet mencari rezeki dengan mengumpul dan menjual sisa kitar semula.
Katanya, dia sering meninggalkan rumah selama beberapa hari untuk mengutip sampah.
“Sebelum pemakluman polis, Phet ke Nong Bua Lamphu, Khon Kaen, Roi Et dan Maha Sarakham untuk mengumpul barangan kitar semula.
“Apabila lama dia tidak pulang ke rumah, saya percaya orang yang mati itu dia.
“Saya gembira apabila dia masih hidup,” katanya.
Pengebumian itu kemudiannya diubah menjadi upacara untuk menghilangkan nasib malang dan membawa rahmat kepada kehidupan Phet.
© New Straits Times Press (M) Bhd