WASHINGTON: Seekor lembu laut jantan seberat kira-kira 186 kilogram diselamatkan selepas terperangkap dalam longkang di negeri Florida ketika mencari perairan lebih panas.
Haiwan laut itu kini sedang menjalani pemulihan di Taman Tema SeaWorld Orlando selepas operasi menyelamat yang melibatkan pelbagai agensi.
Beberapa unit penyelamat kebakaran bersama pegawai dari Suruhanjaya Pemuliharaan Ikan dan Hidupan Liar Florida, Universiti Florida serta syarikat tunda Jack’s Wrecker Service dikerahkan pada Selasa lalu untuk mengeluarkan haiwan itu dari saluran air hujan di pantai.
Operasi tersebut digerakkan selepas seorang pekerja majlis perbandaran bandar Melbourne Beach menemui lembu laut itu ketika menjalankan tinjauan bagi projek penambahbaikan saluran perparitan bandar.
“Kami sedang menaik taraf sistem longkang di Melbourne Beach. Ketika tinjauan dijalankan, salah seorang juruukur terkejut apabila melihat seekor lembu laut di dalam struktur yang dikenali sebagai kotak penahan aliran,” kata Timbalan Datuk Bandar Melbourne Beach, Terry Cronin kepada stesen NBC WESH di Orlando.
Jurucakap taman tema itu, Stephanie Bechara berkata, haiwan itu kemudian dipindahkan ke SeaWorld Orlando dan kini dirawat di kolam perubatan khas.
“Lembu laut ini boleh bernafas sendiri, bergerak secara bebas dan menunjukkan minat terhadap makanan. Pasukan kami sedang menyesuaikan paras air bagi membantu daya apungan serta keselesaannya sebelum haiwan tersebut dilepaskan semula ke habitat semula jadi,” jelasnya. – AGENSI






