July 27, 2024

Lepas Maybank, CIMB pula alami  gangguan 

Lepas Maybank, CIMB pula alami  gangguan 


PETALING JAYA: CIMB Malaysia memaklumkan beberapa perkhidmatan perbankannya sedang mengalami gangguan.  

Institusi perbankan itu dalam kenyataan berkata, gangguan sementara itu melibatkan perkhidmatan CIMB Clicks, CIMB OCTO, FPX, MyDebit, Kredit dan Terminal Layan Diri.

“Kami sedang berusaha untuk menyelesaikan isu ini dengan secepat mungkin. Segala kesulitan amat dikesali,” katanya dalam kenyataan. Setakat berita ini ditulis pukul 5.34 petang gangguan tersebut belum pulih.

Terdahulu, beberapa pengguna CIMB mengadu mengenai masalah beberapa aplikasi termasuk  CIMB Clicks yang  tidak dapat membuat kiriman wang walaupun boleh diakses, malah mesin ATM juga tidak boleh mengeluarkan wang tunai.

Pada Jumaat lalu, situasi sama turut berlaku melibatkan sistem perbankan Maybank sehingga mencetus kekecohan dalam kalangan pengguna.

Gangguan pada Maybank itu  berlaku  hampir lapan jam. Susulan itu, ramai pengguna meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial apabila mereka tidak dapat melakukan transaksi sama ada untuk pembayaran atau pengeluaran tunai.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong kemudian menggesa Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenakan penalti kepada Maybank berhubung insiden perkhidmatan perbankannya yang tergendala.

Ahli Parlimen Ayer Hitam itu  menerusi hantaran di Facebook itu berkata, ini bukan sahaja sebagai pengajaran kepada Maybank, tetapi juga menjadi iktibar kepada bank-bank atau operator yang lain supaya kejadian sama tidak berulang sehingga menyusahkan pengguna.

Katanya, dalam masa sama, bank-bank diharapkan dapat memberikan perkhidmatan terbaik di masa depan.

“Perkhidmatan perbankan Maybank yang tergendala baru-baru ini tidak boleh diterima sama sekali, lebih-lebih lagi rakyat Malaysia semakin bergantung kepada pembayaran secara dalam talian atau e-pembayaran seiring objektif BNM,” kata Ka Siong. – UTUSAN

 





Source link

OR

Scroll to Top