July 19, 2024

Lepasan SPM diberi ruang lanjut pelajaran perlu disokong – Dr Sathia

Lepasan SPM diberi ruang lanjut pelajaran perlu disokong – Dr Sathia


KUALA LUMPUR – PKR menyambut baik pengumuman Perdana Menteri yang menjamin pelajar cemerlang 10A dan ke atas dalam Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM) 2023 dari semua kaum akan diberi peluang melanjutkan pelajaran.

Timbalan Setiausaha Agung PKR, Dr Sathia Prakash Nadarajan berkata, ia merupakan satu keputusan berani yang datang dari Datuk Seri Anwar Ibrahim tepat pada masanya.

“Tindakan Anwar yang umumkan hari ini pelajar yang memperoleh 10A dan ke atas dalam SPM 2023 mewakili semua kaum kali ini akan diberi ruang ke matrikulasi seharusnya disokong dan disambut baik semua pihak.

“Ia menunjukkan pendirian jelas ketua kerajaan itu dalam memastikan tiada mana-mana anak Malaysia terlepas peluang untuk maju dalam pendidikan termasuk peluang meneruskan pendidikan ke Matrikulasi,” katanya kepada MalaysiaGazette malam ini.

Tambah Penyelaras Pakatan Harapan Parlimen Hulu Selangor itu lagi, ketetapan itu dibuat bagi memastikan semua pelajar cemerlang SPM mendapat peluang terbaik untuk melanjutkan pengajian.

“Pada masa yang sama sistem kuota bumiputera sedia ada bagi Program Matrikulasi KPM kekal dan tidak terjejas.

“Saya berharap anak anak cemerlang 10A dan ke atas dalam SPM khususnya dari komuniti India termasuk golongan B40 perlu memanfaatkan peluang ini sepenuhnya memohon ke program matrikulasi kali ini.

“Saya berharap ibu bapa dalam kalangan komuniti India mengambil serius pengumuman perdana menteri demi keterjaminan pendidikan anak- anak mereka,” katanya. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top