Lesen jurulatih berbasikal dituduh amang seksual digantung

Lesen jurulatih berbasikal dituduh amang seksual digantung


PERSEKUTUAN Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menggantung serta-merta lesen seorang jurulatih berbasikal lelaki selepas dia dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelatih wanita berusia 15 tahun.

Jurulatih terbabit yang juga bekas pelumba kebangsaan, Nor Effandy Rosli bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin di Mahkamah Sesyen Ampang pada Khamis.

Mengikut pertuduhan, kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah stor simpanan basikal di medan selera Taman Desa Keramat kira-kira jam 6 petang sekitar Jun 2024.

Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill memandang serius kes tersebut dan tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang salah laku membabitkan pemegang lesen dalam sukan berbasikal.

“PKBM berpegang kepada prinsip bahawa setiap individu yang terlibat dalam sukan ini berhak berada dalam persekitaran yang selamat dan bebas daripada sebarang bentuk gangguan termasuk gangguan seksual,” katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Sebagai langkah mitigasi awal, Jawatankuasa Disiplin PKBM mengambil keputusan menggantung lesen tertuduh sebagai jurulatih sehingga perbicaraan selesai.

Amarjit yang juga Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) berkata, keputusan lanjut akan dibuat berdasarkan hasil keputusan mahkamah.

“Langkah ini bukan sahaja demi kepentingan mangsa, malah untuk melindungi pelatih lain yang berada di bawah seliaan tertuduh.

“Namun, kita tetap berpegang kepada prinsip bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah,” katanya.

PKBM turut menjelaskan bahawa tertuduh bukan jurulatih skuad negara atau mana-mana pasukan negeri, sebaliknya hanya membimbing pelumba di peringkat kelab miliknya sendiri.

Sebagai rekod, Effandy pernah meraih pingat perak pada Sukan Komanwel 1998 menerusi acara lepas beramai-ramai elit lelaki.

 

 



Source link

OR

Scroll to Top