September 8, 2024

Liga Super: GTR Burger tarik diri jadi rakan strategik Kedah

Liga Super: GTR Burger tarik diri jadi rakan strategik Kedah


KUALA LUMPUR – Rakan strategik kelab bola sepak Kedah Darul Aman (KDA) FC, GTR Burger mengumumkan akan menarik diri selepas bersama Sang Kenari kira-kira tiga bulan sahaja.

Pemilik GTR Burger, Nordin Mat memaklumkan perkara tersebut melalui laman media sosial rasmi syarikat itu, semalam.

“Salam buat semua penyokong KDA FC yg saya hormati. Saya telah menemui Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar siang tadi dan memaklumkan GTR Burger akan menarik diri sebagai rakan strategik KDA FC mulai hari ini (Rabu).

“Saya juga memohon jutaan ampun dan maaf kepada semua atas segala kesulitan yang berlaku dan mendoakan KDA FC akan terus maju jaya pada masa hadapan,” katanya.

Sebelum ini, jenama burger itu menerima kritikan daripada penonton perlawanan separuh akhir pertama Piala FA 2024 pada Jumaat lalu kerana kualiti makanan yang dijual didakwa tidak berbaloi dengan harganya.

Bagaimanapun, Nordin tampil menjelaskan dakwaan tersebut dengan lebih terperinci yang mengambil kira jumlah kos keseluruhan termasuk bayaran untuk kelab berkenaan.

Pemilik GTR Burger itu juga dalam hantaran lain juga memohon maaf kepada penyokong kelab tersebut.

“Kepada semua penyokong KDA FC, saya dengan rendah hati memohon maaf atas ketelanjuran kata-kata jika ada yang menyinggung perasaan anda.

“Kami mengambil iktibar dan akan memperbaiki segala kekurangan kami,” ujarnya.

Selain KDA FC, tiga lagi kelab turut menjadi rakan strategik GTR Burger iaitu Selangor FC, Sabah FC dan Kelantan Darul Naim FC pada musim ini. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top