Saifuddin Nasution (tengah) bersama barisan pemain IFC selepas Majlis Makan Malam dan Amanat di Alor Setar pada malam Jumaat. – FOTO IFC
IMIGRESEN FC (IFC) bakal tampil dengan identiti baharu musim depan menerusi proses penjenamaan semula pasukan dalam usaha memperkukuhkan reputasi serta memperluas sokongan penyokong di saingan Liga Super.
Perkara itu diumumkan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail yang memaklumkan proses ‘rebranding’ pasukan kini sedang berjalan dan nama baharu pasukan dijangka diumumkan dalam masa terdekat.
Menurut beliau, langkah itu diambil bagi membentuk identiti lebih segar dan sesuai dengan kedudukan pasukan yang kini membawa cabaran bola sepak di zon utara.
“Saya nak umumkan kelab ini akan lakukan penjenamaan semula dengan memperkenalkan satu nama pasukan yang baharu sebagai langkah ‘rebranding’ IFC.
“Kami ada beberapa idea baharu yang lebih segar untuk penjenamaan pasukan ini, lebih kepada pembentukan identiti baharu yang lebih sesuai kerana kita bermain di zon utara ini,” katanya pada malam Jumaat.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Makan Malam dan Amanat kepada pasukan Liga Super Imigresen FC di sini.
Jelas Saifuddin Nasution, ketiadaan wakil Kedah dan Perlis dalam saingan Liga Super ketika ini membuka ruang kepada IFC untuk membina kelompok penyokong lebih besar di utara tanah air.
“Untuk Liga Super di sini Kedah tiada pasukan dan Perlis pun tiada pasukan. Jadi kita boleh posisikan dengan satu identiti baharu yang saya percaya mampu membina kumpulan penyokong lebih besar dan lebih meriah,” ujarnya.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, persiapan pasukan menghadapi musim baharu turut berjalan seperti dirancang walaupun saingan musim ini belum berakhir.
Katanya, tempoh rehat liga bukan alasan untuk pemain dan pengurusan mengambil mudah persiapan pasukan.
“Saya sudah pesan kepada barisan kejurulatihan termasuk Ketua Pegawai Eksekutif supaya beri tumpuan sepanjang ‘off season’ ini kerana ia bukan musim untuk berehat.
“Saya percaya Ketua Jurulatih, Yusri Che Lah sudah menyusun jadual persiapan bagi memastikan pasukan tampil lebih baik musim depan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut terbuka kepada cadangan Kedah dijadikan laman rasmi baharu buat IFC pada masa hadapan selepas permulaan memberangsangkan di Pulau Pinang kemudian di Perlis.
IFC yang kini menghuni tangga keenam Liga Super bakal menutup kempen musim ini dengan aksi terakhir menentang Melaka FC di Stadium Tuanku Syed Putra pada malam ini.






