Lima individu jalani khidmat masyarakat akibat buang sampah kecil

Lima individu jalani khidmat masyarakat akibat buang sampah kecil


am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Lima individu yang disabitkan kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam menjalani hukuman Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) selama dua jam dengan melaksanakan kerja pembersihan kawasan pantai termasuk sapuan jalan di Kampung Senibong, Plentong, di sini, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, pelaksanaan hukuman itu dijalankan mengikut peruntukan Seksyen 77B (1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 [Akta 672].

“Bagi siri ketiga ini, seramai lima pesalah menjalani hukuman PKM dengan melaksanakan kerja pembersihan kawasan pantai termasuk sapuan jalan di bawah pemantauan pegawai penguat kuasa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

“Semua pesalah menyempurnakan sesi dua jam aktiviti pembersihan awam di bawah pengawasan pegawai penguat kuasa SWCorp.

“Baki tempoh hukuman PKM perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selaras dengan perintah mahkamah,” katanya selepas memantau pelaksanaan hukuman PKM siri ketiga itu yang dilaksanakan secara serentak terhadap lima pesalah berkenaan.

Hadir sama, Pengarah SWCorp Johor, Zainal Fitri Ahmad.

Pesalah terdiri daripada tiga lelaki warga tempatan, seorang lelaki warga Indonesia dan seorang lelaki Nepal semuanya berusia antara 22 hingga 52 tahun.

Mengulas lanjut, Mohd Jafni berkata, sehingga kini, sebanyak 142 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) dikeluarkan di negeri ini atas kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam membabitkan 84 warganegara Malaysia dan 58 warga asing.

“Sebanyak tujuh kes selesai didakwa di mahkamah dengan jumlah keseluruhan denda terkumpul sebanyak RM4,500 serta hukuman PKM antara empat dan lapan jam bagi setiap individu,” katanya.

Beliau berkata, jumlah itu membuktikan bahawa SWCorp tegas dan konsisten dalam melaksanakan penguatkuasaan secara berterusan bagi membanteras amalan membuang sampah di tempat awam.

“Pengeluaran 142 NPK ini adalah bukti jelas bahawa SWCorp tidak berkompromi terhadap sebarang kesalahan kebersihan.

“Operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan undang-undang serta memupuk budaya masyarakat yang lebih berdisiplin dan bertanggungjawab,” katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa kesalahan membuang sampah di tempat awam boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 atau PKM sehingga enam bulan yang mana jika tidak patuh terhadap arahan PKM boleh membawa kepada denda maksimum RM10,000.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top