AYYOUB Bouaddi tampil cemerlang ketika Maghribi menentang Brazil pada aksi pertama Kumpulan C Piala Dunia 2026 pada Ahad lalu.
Walaupun baru berusia 18 tahun, Bouaddi mempamerkan kualiti permainan yang jauh melepasi usianya dan menjadi penggerak utama Maghribi di bahagian tengah sepanjang perlawanan.
Pemain tengah Lille itu mencatat ketepatan hantaran tinggi dengan 60 hantaran tepat daripada 66 percubaan.
Beliau turut memenangi sembilan perebutan bola serta melakukan enam pintasan.
Berdepan pemain berpengalaman seperti Lucas Paquetá, Bruno Guimarães dan Casemiro, Bouaddi tetap tampil yakin tanpa menunjukkan sebarang tekanan dalam aksi berprofil tinggi itu.
Liverpool di bawah kendalian pengurus baharu, Andoni Iraola kini memantau rapi Bouaddi dan berhasrat membawa pemain itu ke Anfield.
Minat Liverpool terhadap Ayyoub Bouaddi bukan sekadar khabar angin kerana kelab dari Merseyside itu dilaporkan sudah mula mengambil langkah awal dengan memantau perkembangan pemain berkenaan.
Menurut sumber, Liverpool telah mengadakan pertemuan dengan ejen Bouaddi.
Perbincangan itu dipercayai berlangsung menjelang pembukaan jendela perpindahan musim panas.
Langkah tersebut menunjukkan keseriusan Liverpool dalam usaha mendapatkan khidmat pemain muda Lille itu. Namun, mereka berdepan saingan daripada beberapa kelab lain.
“Lille sedar bahawa kelab-kelab besar akan memburu Bouaddi kerana sebelum Piala Dunia lagi, beberapa kelab utama dunia sudah memulakan perbincangan dengan ejennya.
“Antara Januari hingga kini, Paris Saint-Germain sudah mendekatinya. PSG sangat meminati Bouaddi dan telah lama memantaunya,” kata sumber berkenaan.
“Kita juga perlu menyebut bahawa kelab-kelab England turut memulakan perbincangan untuk Bouaddi. Contohnya, terdapat hubungan terus dengan Arsenal dan Liverpool.
“Kedua-dua kelab itu telah bertemu dengan ejen pemain, namun selepas dia menyerlah di Piala Dunia, dia kini menjadi antara bakat tengah paling menonjol,” tambah sumber itu lagi.






